Ramai tak tahu sebenarnya tarikh 31 Ogos dipilih oleh Ulama, ini 6 fakta menarik Hari Kemerdekaan Negara

Ramai tak tahu sebenarnya tarikh 31 Ogos dipilih oleh Ulama, ini 6 fakta menarik Hari Kemerdekaan Negara

 

Rupa-rupanya banyak fakta dan rahsia menarik tentang hari kemerdekaan yang ramai antara kita masih belum tahu lagi. Ini termasuklah pemilihan tarikh 31 Ogos 1957.

Siapa yang pilih tarikh itu? Penjajah atau Tunku Abdul Rahman? Namun apa yang ramai tak tahu, tarikh keramat 31 Ogos telah dipilih oleh ulama.

Penetapan tarikh kemerdekaan ditentukan selepas Tunku Abdul Rahman, Haji Sulaiman Palestin, Haji Ahmad Badawi dan beberapa pemimpin UMNO lain meminta pandangan Ulama Besar yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang iaitu Sheikh Abdullah Fahim.

Menurut Sheikh Abdullah Fahim, sekiranya pihak Inggeris tidak memberi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, tarikh lain yang sesuai adalah 31 Ogos 1962.

Malah, tarikh 31 Ogos 1957 mempunyai maksud yang baik dalam bahasa Arab ‘Am Khir Atana’ yang membawa maksud ‘Tahun Baik Datang Kepada Kita’.

Artikel kali ini memetik Portal Rasmi Arkib Negara Malaysia

2) Pembinaan Stadium Merdeka dalam masa 6 bulan

Pembinaan Stadium Merdeka menelan belanja RM2.3 juta. Reka bentuk stadium itu pula direka oleh S.E Jewkes dari Cawangan Kejuruteraan Ibu Pejabat, Jabatan Kerja Raya Persekutuan.

Sewaktu majlis perasmiannya, ia diserikan dengan persembahan pertunjukan padang oleh 1,000 murid sekolah diiringi Pancaragam Askar Melayu Diraja.

3) Anugerah Bapa Kemerdekaan Kepada Tunku Abdul Rahman

Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang pada ketika itu merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah dianugerahkan Bapa Kemerdekaan Tanah Air pada 29 Ogos 1957.

Walau bagaimanapun, pengurniaan gelaran ini secara rasminya dibuat pada malam 30 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor.

Pemberian anugerah ini merupakan hasil persetujuan dalam Persidangan UMNO yang telah diadakan pada 29 hingga 30 Jun 1957 sebagai tanda menghargai jasa perjuangan Tunku Abdul Rahman dalam memerdekakan negara.

4) Laungan Kemerdekaan disusuli dengan seruan azan tanda Islam agama rasmi

Selepas Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dibaca oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 31 Ogos 1957, beliau melaungkan laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali dihadapan lebih 20,000 pengunjung di Stadium Merdeka.

Ia disusuli dengan seruan azan yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi dan diikuti dengan upacara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi lagu kebangsaan ‘Negaraku’.

Sebanyak 101 tembakan meriam kemudiannya dilepaskan sebagai tanda Persekutuan Tanah Melayu telah diiktiraf sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

5) Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan ditulis dalam dua bahasa

Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan merupakan sijil kelahiran Tanah Melayu yang dibacakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj ketika pengisytiharan kemerdekaan.

Ia ditulis dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dalam tulisan jawi dan Bahasa Inggeris. Dokumen ini mengandungi penyataan penting sebagai tanda pembebasan politik daripada pihak penjajah.

Malah, dokumen asal Pemasyhuran ini masih tersimpan rapi di dalam bilik kebal, Arkib Negara Malaysia.

6) Bendera Malaysia dipilih daripada penyertaan pertandingan

Tahukah anda, bendera rasmi Persekutuan Tanah Melayu merupakan hasil rekaan Arkitek daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor, Encik Mohamed bin Hamzah.

Beliau dipilih sebagai pemenang dalam pertandingan reka bentuk bendera bagi kerajaan yang bakal dibentuk pada Mei 1948 anjuran Majlis Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan pada 29 November 1949.

Seramai 373 penyertaan dan hanya tiga yang disenarai pendek pada 15 November 1949 sebelum Encik Mohamed bin Hamzah dipilih sebagai pemenang.

Nama Jalur Gemilang pula diumumkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad pada 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan yang ke-40.