Warga emas lumpuh didakwa rogol nenek 70 tahun
Seorang lelaki berusia 64 tahun ditangkap kerana didakwa menyerang wanita berusia 70 tahun.
Namun penahanan itu mencetuskan kontroversi kerana keadaan kesihatan lelaki tersebut yang teruk, selain tidak mampu berjalan tanpa bantuan.
Dalam kejadian di Phatthalung, Thailand, pada 4 September lalu, suspek yang dikenali sebagai Wichian ditahan polis hingga mengakibat dia diserang sawan, sebelum dibawa ke Hospital Sri Banphot untuk rawatan segera.
Anak perempuan suspek, Wanida kecewa permintaan jaminan terhadap Wichian ditolak dan menganggap keputusan pihak berkuasa adalah tidak adil berikutan masalah kesihatan bapanya yang serius.
Wanida menegaskan bahawa keluarga mereka bersedia untuk beri kerjasama sepenuhnya dengan proses undang-undang.
Tambah wanita berusia 42 tahun itu, mangsa didakwa menghadapi masalah kewangan dan bapanya pernah menawarkan pekerjaan di kebunnya.
Anak perempuan mangsa kemudian didakwa meminta pinjaman tetapi ditolak oleh Wichian.
Suspek sebaliknya mencadangkan mangsa bekerja untuk mendapatkan duit, namun anak mangsa mengancam melaporkan Wichian atas tuduhan merogol ibunya jika tidak diberikan wang.
Wanida menceritakan bahawa dia menasihati anak perempuan mangsa supaya membuat laporan jika dia mempunyai bukti, tanpa menyangka tindakan undang-undang akan diambil.
Keluarganya sukar mempercayai tuduhan tersebut kerana keadaan fizikal Wichian yang lemah, termasuk kelemahan kaki yang memerlukannya menggunakan tongkat.
Mereka juga mempertikaikan keputusan polis yang mengeluarkan waran tangkap tanpa soal siasat yang teliti.