Yusof Haslam kongsi kisah di sebalik kepulangan Syamsul, bersyukur doa termakbul

Yusof Haslam kongsi kisah di sebalik kepulangan Syamsul, bersyukur doa termakbul

 

Pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam bersyukur doa buat anaknya, Syamsul akhirnya termakbul walaupun ambil masa bertahun.

Menurut laporan Harian Metro, Yusof berkata dia tidak pernah menyimpan dendam atau benci terhadap darah dagingnya itu bahkan memaafkan Syamsul selepas bertahun-tahun tidak bertemu.

Ujarnya lagi, dia tidak pernah menyangka anak lelakinya itu kembali pulang di sisi keluarga setelah lama terputus hubungan sebelum ini.

“Kami tak pernah membenci darah daging sendiri, sebaliknya hanya titipkan doa setiap kali dalam solat.

“Doa kami untuk Sol (panggilan Syamsul) akhirnya termakbul walaupun ambil masa bertahun.

“Dia sendiri hubungi ibunya pada Isnin lalu dan menyatakan hasrat untuk berjumpa kami selepas lama terputus hubungan.

“Dia mendakap kami dalam wajah yang ceria dan kami menikmati makan malam bersama-sama,” katanya.

Yusof menjelaskan pertemuan bersama anaknya itu meninggalkan emosi buat dirinya dan isteri, Datin Patimah Ismail tanpa berbual berkaitan kisah lampau yang telah terjadi.

Dalam pada itu, Yusof berharap ikatan yang kembali terjalin dengan Syamsul akan kekal sampai bila-bila.

“Sudah semestinya kami mengalirkan air mata selepas bertahun menanti untuk berjumpa dengannya. Pada pertemuan itu kami tak bicara hal-hal yang lepas, cuma berborak santai.

Semoga ikatan ini kekal hingga ke akhir hayat kami,” ujarnya lagi.

Sejak semalam, perkongsian Patimah Ismail di media sosial mendapat perhatian ramai apabila Syamsul dilihat sudah bertemu semula dengan keluarganya setelah bertahun-tahun tidak berhubung antara satu sama lain.