Youtuber mati ditembak, ‘prank’ tak menjadi
SEORANG lelaki berusia 20 tahun ditembak mati ketika merakam aksi untuk saluran YouTube miliknya.
Mangsa, Timothy Wilks ditembak di kawasan parkir Taman Kembara dan Trampolin Udara pada jam 9.25 malam Jumaat lalu, menurut kenyataan Pejabat Polis Metropolitan Nashville.
Tambahnya, seorang pengunjung kepada taman tersebut, David Starnes Jr mengaku bertanggungjawab menembak Wilks kerana sangkakan dirinya dan orang ramai di kawasan berkenaan berada dalam keadaan bahaya.
Siasatan awal polis mendapati, ketika kejadian, Wilks dan seorang rakannya telah menghampiri beberapa orang, termasuk Starnes sambil mengacukan pisau.
Menurut rakan Wilks, aksi itu kononnya lakonan rompakan atau prank untuk dimuat naik di akaun YouTube.
Siasatan polis sedang dijalankan bagi menentukan jika Starnes bertindak bagi menyelamatkan diri.
Lakonan aksi rompakan sangat popular di YouTube dengan tontonan melebihi sejuta.
Pada bulan Ogos tahun lalu, adik beradik Stokes didakwa di mahkamah berkaitan aksi rompakan yang dirakam mereka. – AA