Warga emas panjat siling elak dicekup berkhalwat

Warga emas panjat siling elak dicekup berkhalwat

Seorang warga emas yang disyaki berdua-duaan dengan seorang wanita bertindak memanjat siling setinggi lebih satu meter selepas penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) menyerbu sebuah rumah di sini malam tadi.

Bagaimanapun, lelaki itu gagal melarikan diri apabila dia dicekup bersama seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an kira-kira pukul 11.45 malam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jaheaik, Mohd. Fadzuli Mohd. Zain berkata, semasa serbuan dijalankan, wanita itu membuka pintu rumah tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah itu mendapati warga emas itu sedang memanjat siling untuk melarikan diri daripada dicekup.

“Dia pada awalnya memberi alasan berkunjung ke rumah wanita itu untuk mengutip sewa rumah. Alasan itu dilihat mencurigakan sebelum anggota penguat kuasa Jaheaik menahan lelaki dan wanita itu untuk siasatan lanjut.

“Warga emas itu merupakan antara tujuh individu yang ditahan dalam Ops Banteras untuk mencegah maksiat oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Jaheaik sempena Hari Malaysia malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Fadzuli, lima lagi individu termasuk dua pasangan lelaki dan wanita berusia dalam lingkungan 20-an dicekup berada dalam sebuah bilik di hotel bajet di sini, kira-kira pukul 5.10 pagi.

Katanya, kedua-dua pasangan yang merupakan penuntut sebuah kolej mendakwa mereka menginap di hotel itu untuk membuat tugasan secara berkumpulan yang diberikan oleh pensyarah.

“Anggota penguat kuasa juga terpaksa menunggu lebih setengah jam sebelum pasangan terbabit membuka pintu.

“Jaheaik akan terus menjalankan operasi dan memberi khidmat nasihat kepada masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan maksiat yang jelas merosakkan institusi agama Islam,” katanya.

Tambahnya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 50 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Bilangan (1) 2019.