Wanita maut dalam kemalangan kereta bertembung lori sawit
Seorang pembantu perubatan maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan sawit di Jalan Selendang, Felda Selendang di sini pada Sabtu.
Dalam kemalangan kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa, Nur Natrah Daharuddin, 26, beralamat dari Ladang Selendang 4, di sini yang parah pada bahagian kepala dan kaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang memandu kereta jenis Audi RS3 dalam perjalanan dari arah bandar Rompin menghala ke Selendang manakala lori membawa muatan sawit dari arah bertentangan.
“Ketika sampai di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai terbabas masuk ke lorong bertentangan sebelum bertembung dengan lori yang datang dari arah hadapan.
“Akibat kejadian mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Azahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, susulan maklumat diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Rompin ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
Menurutnya, ketika anggota tiba di lokasi terdapat mangsa lelaki cedera (pemandu lori) manakala seorang wanita yang tersepit dalam kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Zulfadli berkata, anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat.
“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Rompin untuk menerima rawatan manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.