Wanita hina islam dijangka bayar ikat jamin hari ini, ramai sokong bagi sumbangan
Gara-gara gagal membayar wang jaminan sebanyak RM20,000 seperti yang ditetapkan oleh pihak mahkamah, pasangan kekasih yang didakwa atas tuduhan menghina Islam telah membuat permohonan dana kepada orang awam.
Pun begitu, wanita bernama Siti Nuramira Abdullah yang sedang berdepan dakwaan menghina Islam ketika melakukan persembahan komediri dijangka dapat melunaskan wang ikat jamin hari ini, hasil sumbangan dana awam,
Menurut laporan Berita Harian, setakat semalam sebanyak RM15,000 berjaya dikumpulkan dan peguam bela Siti Nuramira iaitu R Sivaraj yakin jumlah itu akan mencapai sehingga RM20,000.
Peguam bela itu berkata, ramai orang memberi sumbangan dan ada yang menawarkan untuk membayar yuran guaman wanita berusia 28 tahun berkenenaan.
“Ramai yang memberi sumbangan dan ada yang menawarkan untuk membayar yuran guaman Siti Nuramira Abdullah,” katanya.
Tambahan pula pasukannya telah dihubungi oleh penderma dari seluruh dunia yang berminat untuk membuat sumbangan terhadap perjuangan wanita berkenaan di sisi undang-undang.
“Bayaran wang jaminan itu dijangka dibuat hari ini pada pukul 9 pagi,” katanya sambil menambah akan mengembalikan wang yang dibiayai orang ramai, sebaik sahaja kes anak guamnya selesai dan wang ikat jamin dibebaskan mahkamah.
Pada Jumaat lalu, Sivaraj mengumumkan bahawa kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) akan membantu Siti Nuramira dan pasangannya, Alexander Navin Vijayachandran bagi mengumpul dana untuk jaminan mereka melalui sumbangan dana awam menggunakan akaun bank LFL.
Terdahulu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam ketika melakukan persembahan di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun lalu.
Sumber: Berita Harian (Saadiah Ismail)