[Video]Letupan, percikan api di Pavilion KL

[Video]Letupan, percikan api di Pavilion KL

 

 

 

Asap tebal dan percikan api sehingga mengeluarkan bunyi seakan letupan dilaporkan berlaku di pusat beli-belah Pavilion di sini petang tadi.

Kejadian itu dikongsi di laman sosial Datuk Aznil Nawawi, dipercayai berlaku sewaktu berlangsungnya acara Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) yang merupakan hari terakhir.

Pengacara popular dan lebih mesra dipanggil Pak Nil akui terkejut dalam insiden tersebut yang berlaku ketika sedang menunggu giliran berjalan di pentas peragaan.

“Allah, apa benda ni? Macam ada benda meletup. Kami di Pavilion dan kejadian berlaku di belakang stage KLFW.

“Semua orang kelam-kabut ditambah bau asap lagi. Bahaya dan takutlah,” luahnya menerusi video dimuat naik hari ini.

Video berdurasi lebih dua minit itu turut menunjukkan beberapa situasi mencemaskan apabila terdapat percikan api sehingga mengeluarkan bunyi letupan.

Bagaimanapun, Polis Bantuan Pavilion dilihat berjaya bertindak awal untuk mengawal keadaan termasuk keselamatan orang ramai.

Punca kejadian belum dikenal pasti berikutan masih menunggu maklum balas daripada pihak pengurusan Pavilion KL.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya menyatakan tiada laporan diterima setakat ini melibatkan kejadian berkenaan.