Usaha Malaysia bawa masuk rakyat Palestin yang cedera untuk dapatkan rawatan terima pujian antarabangsa

Usaha Malaysia bawa masuk rakyat Palestin yang cedera untuk dapatkan rawatan terima pujian antarabangsa

 

Malaysia sekali lagi menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bagi terhadap isu Palestin apabila mengambil tindakan berani dengan membawa warga Palestin yang cedera ke negara ini untuk mendapatkan rawatan.

Langkah ini bukan sahaja mendapat sokongan rakyat Malaysia, tetapi juga mendapat pujian dari luar negara, terutamanya dari jiran serumpun, Indonesia.

Menurut Kosmo! pengguna media sosial dari Indonesia secara terbuka menyuarakan rasa terima kasih dan kekaguman mereka terhadap usaha Malaysia dalam membantu rakyat Palestin.

Di Instagram, seorang pengguna bernama Riansyah Firdaus menulis, “Luar biasa bangganya ada jiran sebegini. Saya berikan yang terbaik dari Indonesia.”

Sementara itu, seorang lagi pengguna, Valdi, menyatakan, “Terima kasih Malaysia. Dari negara serumpun Indonesia.”

Komentar-komentar ini adalah bukti bahawa tindakan Malaysia ini telah menyentuh hati ramai orang, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara-negara jiran.

Tiya, seorang lagi pengguna dari Indonesia, menulis, “Ga kaget sama Malaysia. Mereka serius banget tentang bela Palestina. Masya-Allah aja ucapan keluar liat kebesaran hati mereka itu.”

Rifki Wijaya dan Mayoshi Annami turut memberikan sokongan dengan ucapan terima kasih dan simbol tepukan tangan.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan kejayaan dua pesawat pengangkut Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang telah selamat mendarat di Pangkalan Tentera Udara, Subang.

Pesawat tersebut membawa pesakit dan waris warga Palestin, serta beberapa petugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dalam misi kemanusiaan ini.

Malaysia mencatat sejarah sebagai negara pertama di Asia yang membawa rakyat Palestin yang cedera untuk menerima rawatan di negara ini.

Usaha berterusan Malaysia dalam membantu rakyat Palestin bukanlah sesuatu yang baru.

Negara ini telah lama menunjukkan solidariti terhadap Palestin melalui pelbagai cara, termasuk bantuan kemanusiaan dan diplomasi.

Tindakan membawa warga Palestin yang cedera ke Malaysia untuk rawatan perubatan ini adalah satu lagi bukti nyata komitmen Malaysia terhadap isu Palestin.