Tujuh hari pengecualian tol di pintu masuk Malaysia – Singapura mulai 1 April

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pengecualian bayaran tol selama tujuh hari di plaza tol Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang, bermula Jumaat ini.
Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan pengecualian bayaran tol bagi semua jenis kenderaan darat itu sempena pembukaan semula sempadan darat Malaysia-Singapura pada 1 April ini.
Katanya, pengecualian itu yang dilaksanakan di kedua-dua pintu masuk sempadan negara, adalah khusus untuk rakyat Malaysia dan pengguna menambah nilai atau memperbaharui ‘Touch and Go’ dan ‘Smart Tag’.
“Sempena pembukaan semula sempadan laluan darat ini, kerajaan bersetuju memberikan pengecualian bayaran tol di plaza tol ICQS di kedua-dua pintu masuk sempadan negara, iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Lebuh Raya Linkedua).
Selari dengan pengumuman itu, pengembara dari kedua-dua negara yang lengkap vaksinasi dibenarkan untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan COVID-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pengecualian bayaran tol itu adalah tambahan kepada pengecualian Caj Jalan (CJ) yang dikenakan kepada kenderaan persendirian pendaftaran Singapura apabila memasuki Malaysia melalui laluan darat di kedua-dua lokasi.
Menurut Perdana Menteri, keputusan mengecualikan bayaran tol itu dibuat selepas mengambil kira penutupan sempadan Malaysia dan Singapura sejak dua tahun lalu.
Selain itu, katanya, kerajaan mahu memastikan kelancaran lalu lintas di kedua-dua plaza tol dengan pembukaan sempadan laluan darat berkenaan.
“PLUS menganggarkan sekurang-kurangnya 42,000 kenderaan akan memasuki Malaysia menerusi Tambak Johor dan Linkedua setiap hari.
“Keputusan pelepasan tol ini akan memanfaatkan lebih 300,000 perjalanan rentas sempadan Malaysia-Singapura bagi pemilik kenderaan,” katanya.
Perdana Menteri memaklumkan, PLUS dengan kerjasama Kerajaan Johor serta kementerian dan agensi berkaitan sedang giat mengadakan persiapan terakhir bagi memastikan perjalanan yang lancar di lebuh raya bersempena dengan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura.
Persiapan itu, katanya, termasuk persediaan di plaza tol, kawasan rehat dan semua kemudahan awam yang disediakan di Lebuhraya PLUS.
“Kerajaan mengalu-alukan kepulangan rakyat Malaysia di Singapura dan ketibaan rakyat Singapura ke Malaysia dengan pembukaan semula sempadan negara ini,” katanya.