“Tolong jangan hina anak saya yang masih belum lahir..” Ryzal mohon henti doa yang tak baik pada kandungan isteri
Personaliti media sosial yang teruk dikecam baru-baru ini susulan penghinaan kepada pakaian tradisional suku kaum Iban, Ryzal Ibrahim memohon agar netizen berhenti mendoakan perkara yang tidak baik dan menghina anaknya yang masih dikandung isteri, Maryam.
Ujar Ryzal, dia menyesali kesalahan yang dilakukannya dan menerima dengan hati terbuka sebarang bentuk kritikan yang diberikan namun untuk melibatkan bayi yang belum lahir adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh dia dan isteri.
Dia yang sebelum ini ada membuat permohonan maaf di Instagram kerana tindakan yang ternyata telah mengguriskan hati pelbagai pihak khususnya orang Iban di Sarawak turut mengucapkan terima kasih di atas teguran yang diberi serta nasihat dan perkongsian orang ramai tentang budaya dan khazanah pakaian tradisional Iban.
Menganggap apa yang telah terjadi itu sebagai suatu pengajaran besar buat dirinya dan isteri, Ryzal menerusi sebuah hantaran di Instagram turut membuat permohonan kepada mereka di luar sana agar tidak melibatkan anak dalam kandungan Maryam.
Ryzal of Durian Kimchi just made fun of the Iban traditional outfit, calling it “kain meja” “kain buruk”, while his wife was getting ready. pic.twitter.com/djXU7dUb3Y
— Pink Rabbit Ranger (@ohzooey) May 26, 2021
“Saya mohon supaya tidak membuat fitnah terhadap anak yang masih dalam kandungan 5 bulan itu yang belum melihat dunia. Anak itu anugerah Allah pada kami berdua selepas 2 tahun dalam bahtera perkahwinan..Saya faham kemarahan ramai pihak, saya tidak salahkan kamu, ia berpunca dari saya yang mencetuskan keadaan tapi saya mohon jangan libatkan isteri dan anak kami..”
Dalam pada itu, Ryzal juga memaklumkan bahawa dia akan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Persatuan Anak Borneo Semenanjung.
Terdahulu, Ryzal dan Maryam yang mula dikenali di Instagram dan saluran Youtube DurianKimchi telah dikecam netizen kerana tindakan mereka itu yang mengutuk busana tradisional kaum Iban itu seperti kain alas meja, kain buruk mesin basuh sehingga telah mencetuskan ketegangan dan rasa kurang senang dalam pengguna media sosial.
Antara selebriti lain yang turut menzahirkan perasaan kesal terhadap video yang dianggap biadab itu adalah Faye Kushairi dan Sharnaaz Ahmad.