Tolak tepi tohmahan ‘tak sayang pencen’, Namie nafi berhenti jadi guru sebab MLS3
Salah seorang ahli kumpulan UBI yang menjuarai Muzikal Lawak Superstar 3 (MLS3) iaitu Namie akhirnya mendedahkan dia secara rasminya telah berhenti berkhidmat sebagai guru di salah sebuah sekolah kerajaan.
Namie atau nama sebenarnya Najmi Shaharudin berkata, keputusan yang dibuat olehnya itu bukanlah kerana penyertaannya di MLS3. Sebaliknya, dia mengambil keputusan untuk berhenti daripada kerjaya sebagai warga pendidik sejak bulan Mac lagi.
Namie yang juga personali media sosial berkata, dia sebenarnya sudah memasang impian untuk menjadi seorang selebriti sejak kecil lagi.
“Pertama kali saya memohon maaf kerana merahsiakan perkara sebenar. Saya sebenarnya sudah berhenti sebagai seorang guru sebab ingin mengejar impian di dalam industri seni.
“Saya tolak tepi segala tohmahan yang mengatakan saya tak sayang pencen dan kerjaya kerajaan. Jangan salah anggap. Saya berhenti bukan kerana MLS3. Saya berhenti sejak bulan Mac lagi.”kata Namie.
Keputusan untuk berhenti menjadi guru itu dibuat kerana tidak mahu mencalarkan imej profesion perguruan dan dia terpaksa merahsiakan keputusan itu kerana tidak mahu mental dan privasinya terganggu
Malah, sewaktu dia mengambil keputusan untuk berhenti, dua orang pegawai Kementerian Pendidikan datang berjumpa dengannya.
“Saya katakan kepada mereka, kalaulah satu hari nanti saya mencalarkan imej profesionalisme perguruan, adalah pihak tuan akan suka?
“Jadi mereka hormati keputusan saya.”ujarnya lagi.
Untuk makluman, Namie sebenarnya aktif di media sosial ketika masih bergelar guru dan dia tidak mahu kandungan yang dihasilkannya akan mencalarkan nama baik kerjaya itu.
Terdahulu, kumpulan UBI yang dianggotai oleh Fad, Sharif dan Namie diumumkan sebagai juara MLS3 dan sekaligus membawa pulang wang tunai RM150,000.
Sementara itu, kumpulan CILI dinobatkan naib johan dan berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM75,000. Seterusnya, tempat ketiga menjadi milik BAHROY yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 berserta trofi.
Bagi kumpulan OOD pula terpaksa akur mendapat tempat keempat dan membawa wang tunai berjumlah RM25,000.
Selain itu, bintang Shiha Zikir merangkul anugerah Supertar Paling Gempak pada tahun ini.
Sumber: Media Hiburan