Tips nak pilih manggis manis & segar, check dulu 5 perkara ini sebelum beli

Tips nak pilih manggis manis & segar, check dulu 5 perkara ini sebelum beli

 

Manggis adalah salah satu jenis buah-buahan yang sangat digemari oleh segenap masyarakat di Asia Tenggara termasuk Malaysia tanpa mengira umur atau generasi.

Berjaya memikat selera dengan rasanya yang masam manis dan bertekstur lembut, buah-buahan ini juga popular di pasaran tempatan kerana sangat mudah didapati.

Walau bagaimanapun, pembeli manggis pasti merasa kecewa sekiranya mendapat buah yang tidak segar atau terlalu masam ekoran harganya tidaklah terlalu murah.

Oleh yang demikian, berikut kami kongsikan sebanyak lima tips boleh pembaca ikuti untuk mendapatkan buah manis dan segar berdasarkan artikel terbitan Idntimes.

1. Warna kulit manggis

Buah yang berwarna ungu kemerahan boleh sahaja dimakan namun rasanya masih sedikit masam. Untuk mendapatkan manggis yang betul-betul manis, pembeli perlu memilih buah yang berwarna ungu kehitaman.

2. Keadaan kulit buah

Elakkan membeli buah dengan kulit yang merekah ataupun lebam. Kerana dikhuatiri kualiti buah berkenaan mungkin sudah terjejas akibat terjatuh daripada pokoknya.

3. Pilih manggis yang berkulit lembut

Tahap kematangan manggis boleh dinilai dengan menekan kulitnya dengan sedikit tekanan. Jika kulit masih terasa keras, buah tersebut belum sesuai untuk dimakan. Sebaliknya buah yang lembut sudah masak sepenuhnya.

4. Keadaan tangkai dan kelopak buah

Faktor kematangan buah juga boleh dinilai melalui keadaan tangkai dan kelopaknya. Difahamkan, manggis bertangkai hijau berseri dengan kelopak yang masih sempurna menandakan buah itu segar dan menyelerakan.

5. Pilih manggis bebas getah

Sebelum membeli buah ini, pastikan kulitnya bebas daripada getah berwarna kuning. Sekiranya getah tersebut masuk ke dalam buah, isinya akan menjadi kurang segar dan tidak menyelerakan.