Tiga anggota kumpulan pemuzik jalanan ditahan bersama pokok ganja

Tiga anggota kumpulan pemuzik jalanan ditahan bersama pokok ganja

 

Tiga ahli kumpulan muzik termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki memiliki pokok ganja dan mengambil ganja.

Ketiga-tiga mereka ditahan dalam serbuan 1.30 pagi di Kampung Lembu, Kedawang Langkawi oleh sepasukan pegawai dan anggita Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BJSN), lapor Astro Awani.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mereka telah menemukan sebuah beg bewarna hijau ketika melakukan pemeriksaan ke atas ketiga-tiga suspek.

“Sebaik dibuka di dalamnya mengandungi 17 peket plastik lut sinar masing-masing berisi ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 178.14 gram.

“Pemeriksaan lanjut turut menjumpai tiga pokok ganja yang ditanam di dalam pasu di hadapan rumah,” katanya ketika dihubungi oleh Astro AWANI.

Selain itu, mereka juga menemukan peralatan dipercayai untuk menghisap ganja dan alat menimbang digital yang berada di atas lantai ruang tamu rumah ketika sedang melakukan serbuan.

Kesemua barangan tersebut dirampas kemudian di bawa ke IPD Langkawi untuk siasatan lanjut dan ketiga-tiga suspek juga telah ditahan dan di bawa ke IPD yang sama.

Kesemua suspek juga didapati positif dadah setelah melakukan ujian air kencing dan hasil siasatan mendapati mereka merupakan sebuah kumpulan muzik jalanan yang aktif di pulau tersebut.

Menurut laporan, kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 39A(2), Seksyen 6B (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a).