Selepas Cyberjaya, Tesla pilih Pulau Pinang buka pusat servis baharu kedua

Selepas Cyberjaya, Tesla pilih Pulau Pinang buka pusat servis baharu kedua

 

Kini pemilik Tesla yang tinggal di Pulau Pinang atau yang berjalan jauh datang ke negeri tersebut tidak perlu bimbang lagi kerana pusat servis baharu telah dibuka di ‘Pulau Mutiara’ itu.

Menurut Pengarah wilayahnya, Isabel Fan menyatakan pembukaan pusat servis baharu itu bagi menampung jumlah pelanggan yang semakin meningkat di wilayah utara Malaysia, petik Bernama.

“Pusat servis di Pulau Pinang adalah pelaburan kami supaya pelanggan tidak perlu berasa bimbang sekiranya mereka perlu memeriksa atau membaiki kereta mereka,” katanya pada acara Tesla’s Updates in Penang di pusat beli-belah Gurney Plaza.

Pusat servis itu berlokasi di Taman Perindustrian Seberang Jaya di Perai. Ia menawarkan sokongan perkhidmatan 24 jam yang dilengkapi dengan bengkel badan kereta serta cat yang canggih.

Pada masa sama, mulai Khamis (12 September) dan seterusnya, pemilik Tesla baharu boleh menerima penyerahan kereta mereka di Pulau Pinang dan tidak perlu pergi ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow turut hadir bagi melancarkan Stesen Pengecas V4 pertama Tesla di Pulau Pinang, yang terletak di aras letak kereta bawah tanah pusat beli-belah tersebut.

Setakat ini rangkaian pengecasan Tesla di Malaysia telah bertambah kepada 12 Stesen Pengecas Super dengan jumlah 56 pengecas serta 13 stesen Pengecas Destinasi dengan 69 pengecas.