Teman suntik vaksin, gelagat Cef Wan melayan ibunya cuit hati netizen

Teman suntik vaksin, gelagat Cef Wan melayan ibunya cuit hati netizen

Cef terkenal negara, Datuk Redzuawan Bin Ismail sememangnya diketahui sangat lantang berbicara di media sosial selain sering berkongsikan perkembangan hidupnya yang terkini bersama keluarga tercinta.

Baru-baru ini, Datuk Redzuawan atau lebih dikenali sebagai Cef Wan kembali mencuri perhatian apabila dia dilihat bergurau senda bersama ibunya ketika menemani syurganya itu menerima vaksin secara pandu lalu.

Meskipun gurauan yang dibuat cef terkenal itu kedengaran agak kasar bagi sesetengah pihak, namun jika anda mengikuti perkembangan Cef Wan di media sosial pastinya mengetahui kasih sayang terhadap ibunya yang tidak berbelah bahagi.

 

Dalam video tersebut, Cef Wan memuji ibunya yang tidak takut mengambil vaksin dan berkata akan panjang umur jika sudah menerima suntikan pelali itu dalam nada bergurau.

“Tak sakit kan, dua kali tambah lagi lima tahun, jadi mak boleh hidup lagi sepuluh tahun lagi. Dah 90 dapat 100 tahun jadi la mak, lama-lama buat apa menyemak orang lain lagi nak hidup..” kata Cef Wan dalam video berdurasi hampir 30 saat itu.

Menjengah ke ruangan komen, gelagat dua beranak ini mengundang reaksi pelbagai yang rata-ratanya terhibur dan menganggap itu hanyalah cara keluarga Cef Wan bergurau sesama mereka.

Sekadar info, ibu kepada Cef Wan, Noraini Abdullah yang mesra disapa sebagai Che Ani dilaporkan telah menghidap penyakit kanser payu dara dan dia kini dijaga dengan baik oleh Cef Wan dan ahli keluarganya yang lain.