Tarikh 1 Syawal tiba-tiba ‘berubah’, ini penjelasan dari Mufti

Tarikh 1 Syawal tiba-tiba ‘berubah’, ini penjelasan dari Mufti

 

Umum mengetahui, tarikh 1 Syawal bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini pada awalnya jatuh pada tanggal 3 Mei, Selasa ini. Tarikh tersebut sudah lama ‘termaktub’ dalam mana-mana kalendar Masihi mahupun Hijrah serta diketahui umum selama ini.

Bagaimanapun akhir-akhir ini, timbul pelbagai spekulasi mengenai tarikh sebenar 1 Syawal yang didakwa jatuh lebih awal, iaitu pada 2 Mei esok. Hal ini berikutan beberapa negara lain sudah berjaya menemui penampakan anak bulan (hilal).

Namun tepat 8 malam tadi, akhirnya segala persoalan terjawab apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan bahawa 1 Syawal jatuh pada 2 Mei iaitu esok.

Berita tersebut sangat menggembirakan bagi mereka yang menanti ketibaan Syawal. Namun di sudut lain, timbul juga persoalan di fikiran; kenapa tarikh tersebut boleh ‘berubah’? Apakah perbezaannya menurut takwim?

Bagi merungkai kekeliruan ini, Jabatan Mufti Negeri Selangor ada memberi penjelasan panjang mengenainya seperti di bawah. Semoga bermanfaat & selamat hari raya.

Penjelasan berhubung permulaan 1 Syawal 1443H (perbezaan menurut takwim)

Malaysia telah mengamalkan penggunaan Kriteria Imkanurrukyah dalam penentuan awal bulan Islam termasuklah bulan Ramadhan, Syawwal dan Zulhijjah sejak tahun 1992. Kriteria ini telah ditambahbaik bermula Muharram 1443H setelah kajian semakan semula data-data hilal dilakukan bagi tempoh 30 tahun.

Imkanurrukyah sebagaimana diamalkan oleh Malaysia dan negara-negara serantau seperti Indonesia, Brunei dan Singapura adalah; hilal dianggap boleh kelihatan apabila memenuhi syarat-syarat berikut:

Ketika matahari terbenam tinggi hilal tidak kurang 3 darjah dan elongasi matahari bulan tidak kurang 6.4 darjah.

Menurut kriteria ini, apabila kedudukan hilal memenuhi kriteria yang ditetapkan pada tanggal 29 hb hijriah maka keesokannya dianggap sebagai permulaan bulan baru. Namun, jika tidak maka keesokannya digenapkan menjadi 30 haribulan.

Kriteria ini dibangunkan berdasarkan pemerhatian yang berterusan terhadap data-data dan rekod kenampakan hilal di seluruh dunia. Ia adalah kaedah alternatif menurut ilmu falak dalam membentuk satu takwim hijriah yang sistematik dan saintifik serta tidak bertentangan dengan kehendak Syarak termasuklah dalam menentukan permulaan Ramadhan dan Syawwal. Walau bagaimanapun, permulaan awal Ramadhan dan Syawwal di Malaysia adalah tertakluk kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Syarak telah menetapkan kaedah yang jelas dalam penentuan awal Ramadhan dan awal Syawwal. Kaedah utama yang dianjurkan sebagaimana nas al-Quran dan hadis Nabi SAW adalah berdasarkan rukyah. Hanyasanya jika hilal tidak kelihatan disebabkan mendung atau berawan, maka dalam hal ini terdapat khilaf ulamak dalam menerima hisab ahli-ahli falak menurut dalil yang pelbagai.

Walau bagaimanapun, apabila telah jelas kelihatan hilal walaupun di luar Kriteria Imkanurrukyah oleh saksi yang adil maka pemerintah bertanggungjawab menyiasat dan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak kesaksian tersebut. Apabila bertembung antara rukyah dan hisab maka kesaksian berdasarkan rukyah adalah lebih diutamakan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat185:

فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ

Maksudnya: Barangsiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu.

Begitu juga hadis Nabi SAW:

لاَ تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْا الْهِلَالَ وَلَا تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَهُ

Maksudnya: “Janganlah kalian berpuasa sehingga melihat hilal, jangan pula kalian berbuka sehingga melihatnya, jika kalian terhalang oleh awan, maka sempurnakanlah hitungannya”. (Riwayat al-Bukhari).

Pada tanggal 29 Ramadhan 1443H, rombongan jawatankuasa rukyah hilal Syawwal telah melakukan cerapan di 29 buah tempat cerapan di seluruh Malaysia. Hilal telah disahkan kelihatan di salah satu lokasi cerapan rasmi di Malaysia.

Kesimpulannya, hilal Syawwal 1443H telah kelihatan pada tarikh cerapan walaupun di luar Ktiteria Imkanurrukyah yang diguna pakai. Maka, awal Syawwal 1443H telah ditetapkan pada 2 Mei 2022 sebagaimana pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Selamat Menyambut ‘Idulfitri. Semoga Allah menerima segala amal baik kita di bulan Ramadhan.

DATO’ DR HAJI ANHAR BIN HAJI OPIR D.P.M.S.
SS Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor