“Taktik tak tunjuk jarum sangat berkesan & bantu tenangkan anak saya” – Khairy Jamaluddin

“Taktik tak tunjuk jarum sangat berkesan & bantu tenangkan anak saya” – Khairy Jamaluddin

Seperti yang kita tahu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang giat menjalankan Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Turut mendapatkan suntikan berkenaan adalah anak lelaki kepada Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin yang kini berusia enam tahun.

Dalam sebuah hantaran di laman Twitter hari ini, Khairy sebagai seorang bapa turut memberi reaksi yang baik tentang layanan profesional jururawat yang menangani anaknya semasa mendapatkan suntikan vaksinasi.

“Saya sahkan jururawat yang menyuntik anak saya sangat profesional dan baik.”

“Taktik tidak menunjukkan jarum sangat berkesan dan membantu menenangkan anak saya.

 

“Semoga semua doktor dan nurse yang terlibat dalam PICKids dilindungi dari fitnah pihak tertentu,” tulis Khairy dalam sebuah ciapan di laman Twitter hari ini.

Sebelum ini, jururawat yang menangani kanak-kanak berkenaan melalui sebuah video yang dimuatnaik di laman Facebook KKM menjelaskan, pendekatan yang digunakan itu adalah untuk mengelakkan kanak-kanak berasa takut di samping memudahkan proses vaksinasi.

“Kerana berurusan dengan kanak-kanak, kita tahu ketakutan mereka kepada jarum itu macam mana.

“Jadi saya kena berinteraksi dengan dia (kanak-kanak) supaya saya boleh cucuk dengan baik dan dia tak takut dengan saya.

“Saya tidak mahu menjadikan perkara ini sesuatu yang mentraumakan mereka,” katanya.