Tak cukup ‘pantang’ 14 hari lepas vaksin, 2 wanita diarah patah balik dari Langkawi
Umum mengetahui selepas mengambil suntikan kedua vaksin Covid-19, mereka perlu menunggu tempoh ‘berpantang’ selama 14 hari sebelum mendapat sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.
Bagaimanapun, ada juga segelintir individu yang mungkin belum memahami definisi ‘vaksin lengkap’ apabila selamba mahu melancong ke Langkawi seperti dilakukan dua wanita ini.
Memetik laporan Kosmo! Online, dua pelancong wanita berusia 25 dan 32 tahun itu diarah berpatah balik ke Kuala Perlis selepas tiba di Terminal Penumpang Kuah semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, difahamkan arahan itu kerana mereka belum cukup tempoh 14 hari selepas menerima dos kedua vaksin kira-kira 11 hari lalu.
“Status vaksin kedua-dua wanita terbabit kemudian dirujuk kepada pegawai perubatan yang berada di tempat pemeriksaan ketibaan penumpang.
“Mereka seterusnya diarah berpatah balik ke Kuala Perlis menggunakan feri di Terminal Tanjung Lembong pada pukul 2 petang, hari yang sama,” katanya.
Alahai, baru nak bercuti.. terbayang mandi pantai. Terpaksa simpan hasrat dan tangguh dulu di lain hari. Tahu teruja, tapi jangan lupa baca dulu syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan.
Sumber: Kosmo! Online (Nur Amalina Azman) , FOTO hadapan (Aizat Sharif)