Tahap kesihatan merosot, Hael Husaini batal konsert – “Doktor nasihat berehat daripada semua aktiviti seni”

Tahap kesihatan merosot, Hael Husaini batal konsert – “Doktor nasihat berehat daripada semua aktiviti seni”

Penyanyi Hael Husaini terpaksa membatalkan konsert ‘Hael Husaini Live In KL’ yang sepatutnya berlangsung pada 19 Februari 2023 di Zepp Kuala Lumpur.

Kesihatan merosot

Menerusi kenyataan media dari pengurusan Hael iaitu Rocketfuel Entertainment memohon maaf kepada semua pihak di atas pembatalan konsert ‘Hael Husaini Live In KL.’

Katanya, penyanyi berumur 35 tahun itu berdepan masalah kesihatan sehinggakan dinasihati doktor untuk berehat dan tidak digalakkan untuk melakukan sebarang aktiviti seni buat sementara waktu.

Keputusan untuk membatalkan konsert ini terpaksa dilakukan atas beberapa faktor dan yang paling utamanya adalah faktor kesihatan Hael yang tidak dapat dielakkan setelah mendapat nasihat daripada doktor.

Kebelakangan ini, tahap kesihatan Hael tidak berapa baik oleh kerana jadual kerjanya yang terlalu padat.

Namun begitu dia masih giat dengan segala persiapan konsert sehingga tahap kesihatannya merosot dan setelah berbincang dengan doktor, dia dinasihatkan untuk berehat dan tidak melakukan sebarang aktiviti seni buat sementara waktu.

Boleh ‘refund’

Dalam pada itu, pihak pengurusan memberi jaminan akan memulangkan semula duit peminat yang sudah membeli tiket.

Saya faham perasaan gusar yang bakal dirasai para pembeli tiket yang sudah pun membeli tiket konsert, saya memberi jaminan bahawa setiap pembeli akan diberikan ‘refund’ yang penuh.

Sebagai maklumat tambahan, segala pengembalian wang boleh dilakukan pada laman web yang tertera dalam kenyataan media ini.

Pihak Rocketfuel Entertainment turut menzahirkan rasa dukacita mereka di atas pembatalan konsert ini kerana segala persiapan sudah pun menghampiri 70 peratus dengan pelbagai aksi menarik yang telah direncanakan dengan lebih kurang 30 buah lagu yang bakal dipersembahkan.

Hanya ucapan terima kasih yang tidak terhingga dapat kami sampaikan kepada semua pihak kerana dapat menerima pembatalan konsert ini walaupun dengan hati yang berat. Semoga semua pihak menerima berita pembatalan konsert ini dengan hati yang terbuka, terima kasih.

Bagi proses pengembalian wang buat pembeli tiket konsert, sila hubungi talian Ubertickets WhatsApp Hotline 019 5881810.