Solidariti dunia buat rakyat P4le5t1n
WASHINGTON – Sokongan ke atas penduduk Palestin semakin ketara apabila ribuan masyarakat dunia menunjukkan penyatuan solidariti dalam beberapa demosntrasi #FreePalestine atau Bebaskan Palestin di seluruh dunia termasuk di Amerika Utara dan Eropah.
Penduduk Pro-Palestin berkumpul di bandar-bandar di seluruh Amerika Utara kelmarin menyeru agar serangan Israel di Pinggir Gaza dihentikan serta merta.
Perhimpunan bagi menunjukkan solidariti bersama rakyat Palestin diadakan di bandar-bandar besar seperti New York, Boston, Washington, Montreal (Kanada) dan Dearborn, Michigan.
Sekitar dua ribu orang berarak keluar di kawasan Bay Ridge di Brooklyn sambil melaungkan “Palestin yang bebas, bebas” dan “Dari sungai ke laut, Palestin akan bebas.”
Mereka mengibarkan bendera Palestin dan memegang papan nama yang bertuliskan “Akhiri Apartheid Israel” dan “Kebebasan untuk Gaza.”
Super model berketurunan Palestin- Amerika Syarikat, Bella Hadid menyertai tunjuk perasaan menyokong rakyat Palestin yang diadakan di Brooklyn, New York.
Bella atau nama penuhnya Isabella Khair Hadid, 26, menyertai protes tersebut yang berlangsung selama beberapa jam tengah hari semalam.
Tidak hanya disertai penduduk berketurunan Arab dan tempatan, beberapa warga Yahudi turut hadir sambil membawa papan tanda yang bertulis ‘bukan atas nama saya’ dan “Solidariti bersama Palestin” ketika para penunjuk perasaan mengambil alih jalan di yang mempunyai majoriti penduduk Arab.
Puluhan pegawai polis turut kelihatan mengawasi protes damai yang digelar “Mempertahankan Palestin.
Alison Zambrano, seorang pelajar berusia 20 tahun sanggup turun dari Connecticut untuk menyertai demonstrasi tersebut.
“Rakyat Palestin berhak untuk hidup bebas dan anak-anak di Gaza tidak patut dibunuh,” katanya kepada AFP.
Sementara itu, puluhan ribu penunjuk perasaan turut melakukan perarakan aman dalam menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin di bandar-bandar utama Eropah termasuk London, Berlin, Madrid dan Paris.
Di London, beberapa ribu penunjuk perasaan membawa papan nama yang bertuliskan “Stop Bombing Gaza” (Berhenti Mengebom Gaza) dan melaungkan “Free Palestin” (Bebaskan Palestin) ketika berkumpul di Marble Arch, berhampiran Hyde Park di ibu negara Britain sebelum berbaris menuju kedutaan Israel.
Orang ramai bersesak membentang bendera Palestin di sepanjang Kensington High Street iaitu lokasi di mana kedutaan Israel berada.
Penganjur mendakwa sebanyak 150,000 orang telah berkumpul untuk perarakan London, salah satu daripada beberapa demonstrasi yang berlangsung di seluruh Britain walaupun polis London mengatakan mereka tidak dapat mengesahkan angka tersebut.
“Kumpulan ini tersebar di kawasan yang luas jadi agak sukar untuk menjumlahkan mereka dalam bilangan yang tepat,” kata seorang jurucakap Polis Metropolitan.
Simon Makepace, seorang akauntan berusia 61 tahun memberitahu AFP dia menyertai perarakan itu kerana seluruh dunia perlu melakukan sesuatu, termasuk negaranya.
Dia turut mengkritik Amerika Syarikat (AS), yang menurutnya menyokong Israel secara tidak adil, dan mendesak Washington untuk mencari jalan perdamaian dan menghentikan apa yang berlaku. – AFP