Siti Sarah dah ditidurkan, jalani pembedahan keluarkan bayi

Siti Sarah dah ditidurkan, jalani pembedahan keluarkan bayi

Berhubung keadaan Siti Sarah yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), pengurusnya Nana Mohamad Rom memaklumkan penyanyi itu sudah ‘ditidurkan’ dalam rawatan intubasi.

Memetik laporan Harian Metro, majlis bacaan Yassin juga diadakan tengah hari ini yang dipimpin oleh Imam Muda Asyraf sebagai salah satu cara mendoakan kesejahteraan penyanyi tersebut.

“Sarah dah ditidurkan. Minta tolong doakan dia.
“Ini adalah inisiatif kami sebagai rakan-rakan untuk pinjamkan kekuatan kepada Sarah dan juga bayi di dalam kandungannya. InsyaAllah, Allah akan mendengar rintihan dan permintaan kita,” kata Nana.

Meninjau ke laman Instagram Indigital Music, majlis bacaan Yassin tersebut selesai diadakan oleh ahli keluarga dan kenalan rapat secara dalam talian.

 

“Terima kasih buat semua yang sudi meluangkan masa menyertai bacaan yassin untuk kesejahteraan @sitisarahraissuddin. Memang berat ujian yang perlu dihadapi oleh @shuibsepahtu sekeluarga.
“Sebaik sahaja tamat bacaan Yassin, doktor memaklumkan yang paras oksigen Sarah semakin baik dan akan melakukan pembedahan mengeluarkan bayi dalam kandungan pukul 2 petang nanti,” tulis posting tersebut.

Terdahulu, Siti Sarah yang sedang sarat hamil lapan bulan dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selepas tahap oksigen tidak stabil.

 

Difahamkan, penyanyi lagu Kesetiaan itu sepatutnya memotong gelang kuarantin kelmarin namun mengalami batuk dan tidak selesa.

Sumber: Harian Metro (Ridzuan Abdul Rahman) , Instagram Indigital Music