Shiha nafi konsep persembahannya di AJL36 berunsur sesat & syirik

Shiha nafi konsep persembahannya di AJL36 berunsur sesat & syirik

Penyanyi Shiha Zikir menolak dakwaan susulan persembahannya menerusi lagu Aewo di final Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36), Ahad lalu mempunyai unsur syirik seperti mana yang didakwa segelintir netizen.

Menurut Shiha, 35, konsep persembahannya pada malam itu merupakan kesinambungan daripada video muzik lagu berkenaan dan langsung tidak mempunyai kaitan dengan unsur syirik.

“Mana mungkin pihak TV3 mahu melepaskan konsep persembahan sebegitu (unsur syirik) kalau benar saya mahu mengetengahkan persembahan yang boleh memesongkan akidah.

“Sebenarnya ada jalan cerita berdasarkan muzik video Aewo. Kalau penonton tidak faham apa yang cuba saya sampaikan, mereka akan berfikir secara negatif,” katanya.

Shiha akui terkejut apabila timbul dakwaan susun atur set persembahannya di AJL36 dikaitkan dengan elemen dajjal seperti yang tular dalam media sosial.

Bercakap lebih lanjut tentang persembahannya itu lagi, bekas peserta program Mentor musim kelima itu menjelaskan bahawa dia sekadar mahu menyelitkan unsur pementasan dan lakonan mengikut koreografer yang telah bincangkan.

“Disebabkan kekangan masa untuk membuat persembahan berdurasi sekitar empat minit, apa yang kami boleh lakukan adalah mempamerkan konsep tarian (koreografer).

“Saya mahu tampil dengan konsep ala teater dan lakonan. Walaupun saya ‘melakonkan’ unsur syirik, tapi saya tidak pamerkan pengakhiran yang gembira.

“Saya tetap gagal mendapatkan ‘lelaki’ idaman itu. Jadi memang tidak ada kena mengena langsung dengan pandangan netizen,” katanya lagi

Bagaimanapun, Shiha tidak mahu cepat melatah dengan dakwaan yang dilemparkan netizen kerana faham setiap orang mempunyai pandangan masing-masing.

Pada masa sama, Shiha juga mengakui mungkin konsep persembahan yang dibawakan pada malam AJL36 lalu itu kurang sesuai untuk rakyat Malaysia atas dasar sensitiviti.

“Mungkin persembahan sebegini tidak sesuai di Malaysia. Pada pandangan saya, orang yang menonton, mereka akan fikir perkara negatif dahulu.

“Apa-apa pun saya sangat berpuas hati dengan persembahan yang saya bawakan bersama Noki walaupun pulang dengan tangan kosong,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial konspirasi oleh netizen apabila mendakwa konsep persembahan Shiha pada malam AJL36 lalu seolah-olah mempunyai unsur syirik dan menyesatkan.