Setaraf siakap, Lelaki terkesan dengan harga sotong di restoran nasi kandar, cecah RM100

Setaraf siakap, Lelaki terkesan dengan harga sotong di restoran nasi kandar, cecah RM100

Belum reda lagi dari ingatan masyarakat tentang harga ikan siakap kayangan baru-baru ini, timbul pula isu terbaharu mengenai harga satu hidangan yang dilihat sangat melampau.

Hal itu apabila seorang lelaki telah meluahkan rasa kecewanya selepas terpaksa membayar sebanyak RM106.60 ketika menikmati juadah sotong di sebuah restoran nasi kandar di Pulau Pinang.

Menurut perkongsian daripada seorang pengguna Facebook, dia telah mendedahkan resit bayaran itu selepas membeli nasi kandar bersama dua ekor sotong goreng.

Hati-hati kawan-kawan yang mana nak mai makan nasik kandaq kat Penang. Harga dua ekor sotong boleh cecah sampai RM100

Sumber: awatttsyeikhh

Menurut resit tersebut, harga bagi dua ekor sotong goreng segar berharga RM100, manakala sepinggan nasi beriani berharga RM4.50, nasi putih (RM1.50), dua biji telur masin (RM2), papadom (RM3) dan timun (RM2).

Berhubung dengan itu, rata-rata netizen dilihat turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap harga yang ditetapkan selain berharap agar restoran berkenaan dikenakan tindakan.

Ramai tak puas hati, wakil restoran beri penjelasan

Menerusi hantaran di laman Facebook milik Malaysia Gazette, wakil kepada restoran tersebut telah tampil memberikan penjelasan selepas tular mengenai harga sotong berkenaan.

 

Menurutnya, pelanggan yang tidak berpuas hati itu telah memesan saiz sotong yang lebih besar dengan harga yang ditetapkan restoran tersebut.

Selain itu, pihaknya juga telah meletakkan harga pada signboard bagi setiap menu dan mengakui pelanggan tersebut mengambilnya tanpa bertanya akan harganya.

Kita beli pun sudah mahal RM35 sampai RM50 sekilogram. Kita ada display harga dekat signboard. RM10 sampai RM150. Jadi, pelanggan tu dua-dua laki dengan perempuan ambil sotong besar.

Padahal tak tanya harga semua. Saya ingat dia sudah tau harga tu, saya kira bungkus dan serahkan kat dia dan dia bayar. Malam tu, dia sudah viral.

Tambahnya lagi, sebelum ini tiada pelanggan yang pernah mengadu akan harga yang ditetapkan selain mendedahkan lauk-pauk yang dimasak di restoran itu menggunakan rempah-rempah asli.

Kredit: Utusan Harian I Facebook Malaysia Gazette