“Setakat mengurung rakyat dah tak relevan..” – TMJ minta SOP dikaji semula
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi pandangan bahawa prosedur operasi standard (SOP) patut dikaji semula secara holistik dan berasaskan data yang sahih.
Tunku Ismail menerusi sebuah posting di Facebook rasmi bertitah, tindakan ‘mengurung’ rakyat yang sudah hampir dua bulan tidak relevan lagi selain statistik Covid-19 harian masih mencatatkan jumlah kes yang tinggi.
“Rakyat kini sudah dikurung hampir dua bulan dan saya bimbang rakyat kini mengalami masalah kesihatan mental dan fizikal yang teruk.
“Di samping itu, masalah sosioekonomi juga tertimbul akibat situasi ini yang berpanjangan. Saya berpendapat bahawa SOP patut dikaji semula secara holistik dan berasaskan data yang sahih.
“Setakat mengurung rakyat sudah tidak lagi relevan,” titah baginda.
Selain itu, Tunku Ismail turut bertitah mengenai penggunaan ‘rapid test kit’ dan test kit peribadi yang perlu diperkenalkan secepat mungkin khususnya untuk sektor yang penting.
“Sektor kritikal yang melibatkan pemprosesan ubatan, bahan makanan dan barang keperluan asas. Rakyat juga patut disaringkan secara meluas dan divaksinasi secepat mungkin,” titah Tunku Ismail.
Tunku Ismail juga menitahkan agar proses vaksinasi untuk rakyat Johor dipercepatkan melalui pelbagai inisiatif termasuk bagi kerajaan negeri memperolehi vaksin secara pembelian terus.
Baginda bertitah demikian ketika melakukan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Sumber: FB HRH Crown Prince of Johor