“Saya tak sengaja rogol anak” – Penoreh getah
‘Saya tak sengaja rogol anak’,” demikian kata seorang penoreh getah yang didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak kandungnya berusia 14 tahun di Kampung Sungai Sam, Kuala Krai, Ahad lalu.
Tertuduh berusia 44 tahun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol anaknya berusia 14 tahun 11 bulan ketika kejadian.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 sebatan maksimum, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap anak kandungnya yang juga mangsa sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(C) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 akta yang sama. Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah sekitar jam 5 pagi di Kampung Sungai Sam, Kuala Krai.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh yang mempunyai tiga anak memohon jaminan dibenarkan dengan alasan dia tidak sengaja melakukan perbuatan itu terhadap anaknya.
Ahmad Faiz Fitri bagaimanapun meminta jaminan tidak ditawarkan memandangkan kes berkenaan adalah serius dan mangsa adalah anak kandungnya.
Mahkamah kemudiannya memutuskan tiada jaminan ditawarkan dan menetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.