“Saya nampak air matanya..” ziarah Nad Zainal di ICU, Marsha Milan pegang tangan & sempat berbisik
Penyanyi Marsha Milan gagal menahan air mata apabila berkongsi cerita mengenai rakan baiknya pelakon Nad Zainal yang ketika ini sedang ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Ampang Puteri sejak Selasa.
Berkesempatan untuk menziarahi aktres tersebut, Marsha menjelaskan saat dirinya memberikan kata-kata semangat buat Nad, pelakon drama Cina Buta itu seakan mendengar dan mengalirkan air mata.
“Rabu yang lalu, saya sempat ziarah Nad di hospital. Saya dan beberapa rakan selebriti yang lain. Saya dapat masuk dalam ICU dan pegang tangan dia.
“Saya sempat bercakap dengan dia, saya kata Nad kena kuat, Nad kena teruskan perjuangan, Nad ada anak-anak yang tunggu Nad.
“Itu antara ayat-ayat kami yang datang ziarah dan akan cakap benda sama. Terbukti dengan sokongan dan kata-kata semangat daripada rakan yang hadir, keadaan dia nampak semakin baik dan positif.
“Walaupun dia dalam keadaan tidur, saya tengok bila cakap pasal anak-anak, saya nampak dia keluarkan air mata. Itu tanda dia dengar apa yang kami cakap dekat dia,” kongsinya.
Marsha berkata demikian ketika ditemui usai dia melakukan persembahan menerusi lagu Kembali Terang pada hari pertama Separuh Akhir Muzik-Muzik 37 yang bersiaran langsung dari Plaza Alam Sentral, Shah Alam.
Ditanya mengenai rancangan yang ingin dilakukan apabila Nad sudah sedar, anak kelahiran Sabah itu menjelaskan dia dan beberapa rakan selebriti lain berhasrat untuk mengadakan sesi reunion bersama-sama.
“Kami jarang berjumpa tapi kami rajin bergurau dan borak dalam group Whatsapp, saya dan dia busy sebab masing-masing ada kerja.
“Sebab itu, saya ada juga cakap dekat Nad masa di hospital, dia kena bangun dan sedar sebab banyak benda yang nak dibuat sama-sama.
“Kami nak reunion dengan kawan-kawan yang lain, ada Nabila Huda, Sharifah Sakinah, Nadia Aqilah dan ramai lagi,” kongsinya.