“Saya antibuli” cikgu Zack Kirana lapor polis terhadap individu menghina & mencerca dirinya
Guru selebriti, Cikgu Zack Kirana Ibrahim membuat laporan polis terhadap seorang individu yang didakwa cuba menjatuhkan maruahnya.
Menurut Cikgu Zack, individu itu juga telah menghina dan mencercanya dengan kata-kata kesat di media sosial.
“Apabila sudah hilang sabar. Saya telah membuat laporan polis terhadap individu yang telah menghina dan mencerca saya dengan kata-kata kesat di media sosial.
“Individu tersebut juga cuba menjatuhkan maruah saya sebagai seorang pendidik dan pendukung
bahasa Melayu,” jelasnya menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya.
Tambah Cikgu Zack lagi, dia telah menyerahkan segalanya kepada pihak polis dan berharap tindakan selanjutnya dikenakan.
“Saya telah menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk siasatan dan mengambil tindakan selanjutnya terhadap individu berkenaan.
“Saya tidak akan berdiam diri. Saya antibuli, lebih-lebih lagi buli siber. MALAYSIA ada undang-undang. SAYA LAWAN!” tulisnya.
Terdahulu, Cikgu Kirana sebelum ini menjadi tular selepas menegur kesalahan tatabahasa dalam lirik lagu popular, Casablanca.