Satu kerusi pun tak dapat, Ketua Pemuda PAS gesa buat perubahan di Sabah
Tanpa sebarang kerusi diperuntukkan kepada PAS, pemuda parti itu tetap mengajak pengundi Sabah memperbaiki “kegagalan kerajaan-kerajaan sebelum ini” dan bersatu demi negeri berkenaan.
Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin berkata sebagai menyahut seruan presiden parti itu mereka akan bersama dengan untuk membantu Umno, Bersatu dan parti lain dalam PRN kali ini.
“Kegagalan kerajaan-kerajaan sebelum ini harus diperbaiki dengan kerajaan baru yang berjiwa rakyat, dan bersatu demi manfaat warga Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Khairil Nizam PRN kali ini merupakan satu-satunya jalan untuk rakyat Sabah mencorakkan masa depan negeri dan menjadikan ia sebagai medan mewujudkan masa depan yang lebih baik.
Katanya, banyak isu yang menunjukkan betapa perlunya sebuah kerajaan progresif diwujudkan di Sabah.
Misalnya, kata Khairil Nizal, masalah kekurangan infrastruktur dan capaian internet.
“Pemuda PAS yakin rakyat Sabah sudah lama merintih dan mengidamkan kerajaan yang kuat, yang tidak terpengaruh dengan mainan dan aturan politik, yang bersih dan berintegriti serta komited membela rakyat,” katanya.
Untuk rekod PAS menyasarkan 10 kerusi untuk ditandingi dalam PRN pada hujung bulan ini. Ia pernah dinyatakan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini.
Mampu buat perubahan
Bagaimanapun, di sebalik kerjasama PAS dengan Umno – melalui Muafakat Nasional – dan Bersatu – melalui Perikatan Nasional (PN) – parti itu tidak diberikan sebarang kerusi.
Malah semasa majlis pengumuman calon semalam PAS tidak dijemput menyertainya.
Petang tadi Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata langkah parti itu tidak meletakkan calon adalah bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dapat dicapai.
Namun untuk rekod, sebenarnya jika PAS diberikan laluan untuk bertanding, situasi satu lawan satu masih dapat direalisasikan, kecuali sekutu mereka masih tetap meletakkan calon masing-masing.
Sebelum DUN Sabah dibubarkan, negeri itu ditadbir oleh Warisan yang baru ditubuhkan menjelang PRU ke-14 lalu.
Khairil Nizam berkata pengundi Sabah perlu memilih calon yang mampu membuat perubahan.
Sementara itu Pemuda Umno hari ini menyeru Bersatu supaya mempertimbangkan kerusi mereka untuk diberikan kepada PAS.
Gesaan tersebut dibuat oleh exconya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, dengan alasan untuk menjadi tanda penghargaan mereka kepada PAS yang merupakan komponen PN.
“Bersatu wajar pertimbang satu dua kerusi kepada PAS di PRN Sabah.
“Bersatu mesti ikhlas kepada PAS sebagai rakan komponen parti PN. Tanpa PAS, PN tak dapat didaftarkan. Inilah masanya menghargai PAS,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dalam PRN kali ini Bersatu akan bertanding di 19 kerusi diikuti lapan oleh Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan dua kerusi untuk Parti Progresif Sabah (SAPP).
Tetap bertanding secara tersirat
Menyokong pandangan Wan Muhammad Azri ialah Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang menyarankan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mempertimbangkan kerusi untuk PAS.
“Ada benarnya pandangan ini,” kata Asyraf Wajdi ketika berkongsi hantaran Wan Muhammad Azri yang lebih dikenali sebagai Papagomo.
Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman pula memuji PAS kerana dianggapnya bersikap matang dan menerima saja keputusan mengenai pencalonan untuk PRN kali ini.
“Kenyataan Presiden PAS bahawa parti itu memberikan laluan kepada rakan-rakan bagi memastikan pertandingan dua penjuru dapat diserlahkan dalam PRN Sabah adalah berjiwa besar serta memahami kepentingan muafakat secara taktikal atas wadah yang sama iaitu PN,” katanya.
Menurutnya kunci persefahaman itu ialah diplomasi dan perkongsian berdasarkan realiti sosiopolitik tempatan.
“Sesungguhnya simbol atau bendera yang dijunjung oleh PAS, Bersatu, Star dan PBS untuk PRN Sabah adalah satu iaitu PN.
“Maka adalah benar kenyataan ahli Jawatankuasa Pusat PAS Dr Mohd Zuhdi Marsuki bahawa secara tersiratnya PAS bagaikan tetap bertanding di Sabah, iaitu melalui PN,” katanya.