Salamiah Hassan kembali bergelar isteri pada usia 71 tahun, bakal menetap di Australia

Salamiah Hassan kembali bergelar isteri pada usia 71 tahun, bakal menetap di Australia

 

Penyanyi Salamiah Hassan, 71, telah selamat melangsungkan pernikahan dengan lelaki pilihannya, Gerald Hughes yang berasal dari Australia. Majlis pernikahan mereka itu telah berlangsung di Tasmania Australia, awal pagi tadi.

Telah menjalinkan hubungan cinta secara on and off dengan kekasihnya itu, Salamiah akhirnya mengakui bahawa kesabaran dan pandemik yang berpanjangan telah membuatkan hatinya terbuka untuk mengahwini Gerald yang digelar sebagai Gerry.

Gambar ihsan Instagram Salamiah Hassan
Gambar ihsan Instagram Salamiah Hassan

“Dia memang sudah lama mengajak saya untuk berkahwin. Tapi, saya yang tidak bersedia. Namun, dia cukup sabar menunggu dan pandemik juga membuatkan saya terfikir betapa singkatnya hidup ini.

“Pandemik telah mendekatkan saya dengan dia walaupun kami berjauhan dan akhirnya hati saya terbuka untuk menerimanya sebagai pasangan hidup saya,” katanya yang pernah berkongsi cerita ini dengan penulis.

Menurut Salamiah lagi, dia tidak mendapat sebarang tentangan daripada pihak keluarga Gerry mengenai perkahwinan mereka itu.

“Mereka sudah lama mengenali saya. Begitu juga dengan anak-anaknya. Mereka juga mahu Gerry mengahwini saya,” katanya sambil tersenyum bercerita.

Sewaktu menyambut bulan Ramadan dan Aidilfitri, Salamiah yang mesra disapa sebagai Kak Anya telah mengambil cuti yang panjang untuk menziarahi anak saudaranya yang menetap di Melbourne, Australia.

Suasana sekitar majlis pernikahan Salamiah dan Gerry. - Gambar Instagram ihsan Atilia Haron
Suasana sekitar majlis pernikahan Salamiah dan Gerry. – Gambar Instagram ihsan Atilia Haron

Bahkan, penyanyi lagu Gelombang yang juga ibu kepada Atilia Haron ini juga turut mengambil kesempatan tersebut untuk menziarahi Gerry dan seluruh keluarga besarnya.

Dalam pada itu, Atilia yang tidak dapat berada di Tasmania untuk menyaksikan pernikahan ibunya yang bersejarah itu menyatakan rasa syukur dan gembiranya.

“Kita menerima saudara baru pagi ini, Gerald Hughes. Alhamdulilah! Cinta hati kami telah menemui kebahagiaannya.

“Tidak dapat bersama anda hari ini mama, tapi kami berpeluang untuk menyertai secara online. Tidak sabar untuk memeluk anda berdua. Kita adalah famili sekarang. Alhamdulillah. Saya sangat gembira,” katanya.

Tim Getaran mengucapkan tahniah buat Salamiah Hassan dan pasangannya, Gerry Hughes. Semoga perkahwinan mereka akan kekal bahagia hingga ke jannah. – Getaran, 1 September 2022