Rezeki gadis penjual belon

Rezeki gadis penjual belon

New Delhi: Seorang penjual belon jalanan di India mengecap populariti sekelip mata selepas gambarnya tular di laman sosial.

NDTV melaporkan, kisahnya bermula apabila seorang jurugambar, Arjun Krishna mengambil gambar Kisbu yang sedang menjual belon sempena Festival Andalur Kavu pada 17 Januari lalu.

Keanggunan dan kesederhanaan Kisbu menarik perhatian Arjun yang mengeluarkan kamera dan mengambil gambar gadis itu.

Selepas itu, Arjun menghampiri Kisbu dan ibunya seterusnya menunjukkan mereka gambar diambilnya.

Arjun berkata, Kisbu dan ibunya gembira dengan gambar diambilnya itu sebelum Arjun berkongsi satu gambar di Instagram (IG) dan tanpa disangka, perkongsiannya itu tular.

India Today melaporkan, Kisbu dan keluarganya mendapat panggilan daripada pihak yang berminat mengundangnya ke sesi fotografi.

Selepas keluarga Kisbu bersetuju untuk bergambar, jurusolek, Remya Prajul mula melakukan kerja transformasinya.

Ketika sesi fotografi, Kisbu digayakan dalam sari tradisional kasavu dengan perhiasan barangan kemas.

Gambar dari sesi fotografi dikongsi di IG Arjun Krishnan, mendapat sambutan menggalakkan.