Remaja 17 tahun ditahan, disyaki cuba seludup 25 PATI guna vellfire
Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan bersama 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang ditemui berhimpit dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya ketika ditahan di Taman Sri Kuching di sini, semalam.
Suspek bersama warga asing itu ditemui kira-kira jam 12.05 tengah hari ketika sepasukan anggota dari Balai Polis Jinjang bersama ketua balai sedang melakukan rondaan di Jalan Selinsing.
Ketika rondaan, anggota polis melihat sebuah MPV jenis Toyota Vellfire berwarna hitam dipandu dalam keadaan mencurigakan dan setibanya di Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching, polis mengarahkan kenderaan itu berhenti untuk pemeriksaan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata bagaimanapun pemandu Vellfire itu tidak mengendahkan arahan polis dan terus memecut laju kenderaan.
“Anggota polis mengejar MPV itu dan apabila tiba di Jalan Selinsing, kenderaan itu merempuh sebuah motosikal ditunggangi anggota polis yang sedang mengejarnya sehingga terbabas. Bagaimanapun, anggota polis terbabit tidak cedera.
“Suspek turut melanggar tiga kenderaan milik orang awam di lokasi kejadian, sebelum kenderaan itu berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan menemui 25 warga asing terdiri 19 lelaki dan enam wanita berusia 15 hingga 39 tahun di bahagian tempat duduk belakang Vellfire berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, pemandu MPV seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang tidak mempunyai lesen memandu dan pemeriksaan mendapati kenderaan dipandunya menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Seorang penumpang hadapan yang juga lelaki tempatan didapati berjaya meloloskan diri ketika kemalangan berlaku,” katanya.
Eng Lai berkata, semua warga asing dalam kenderaan itu warga Myanmar dan semua mereka didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
“Suspek mendakwa dia dan seorang lagi rakannya yang melarikan diri bertolak dari Rantau Panjang menuju ke Kuala Lumpur pada jam 3 pagi semalam untuk menghantar semua PATI itu mencari pekerjaan.
“Setiap PATI didakwa perlu membayar RM6,000 seorang kepada tekong yang membawa mereka ke negara ini bagi tujuan mendapatkan pekerjaan,” katanya.
Katanya, semua suspek direman bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan sindiket pemerdagangan manusia diminta menyalurkannya kepada polis dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul ditalian 03-40482222.