Ramly Burger kini dah sampai Amerika Syarikat, dipuji dalam The New York Times

Ramly Burger kini dah sampai Amerika Syarikat, dipuji dalam The New York Times

 

Siapa sangka Ramly Burger yang selama ini kita nikmati di jalanan Malaysia, kini sudah mencuri hati rakyat Uncle Sam.

Menurut laporan Yahoo News, kedai makanan Kampar di Philadelphia, yang terkenal dengan hidangan Ramly Burger, telah mendapat perhatian daripada salah satu penerbitan paling berpengaruh di dunia, The New York Times.

Hanya enam bulan selepas pembukaan kedai ini, mereka sudah menerima pengiktirafan besar apabila artikel The Burger Is… Street Food menampilkan Ramly Burger sebagai antara tarikan utama di Kampar.

Tidak sekadar itu, artikel tersebut turut meluahkan rasa kagum bagaimana sebuah burger jalanan Malaysia boleh diangkat menjadi sajian istimewa di Amerika, dengan harga USD19 (sekitar RM88).

Menurut perkongsian di Instagram rasmi *Kampar Philly*, mereka rasa ini merupakan satu penghormatan apabila produk mereka diakui oleh @nytfood.

Mereka menyatakan bahawa ulasan positif dari komuniti setempat juga telah menyumbang kepada kejayaan besar ini.

Untuk memastikan keaslian dan kualiti Ramly Burger, Kampar Philly bekerjasama dengan beberapa rakan tempatan seperti penyedia daging halal, Al-Baraka, pembuat roti Merzbacher’s Bakery, dan pembekal telur Smith Poultry.