Ramai terkejut tengok Ringgit dah cecah paras RM4.37, pakar ekonomi jangka boleh cecah RM4.30

Ramai terkejut tengok Ringgit dah cecah paras RM4.37, pakar ekonomi jangka boleh cecah RM4.30

 

Ringgit meneruskan momentum peningkatannya apabila kini dilaporkan sudah pun mencecah paras 4.37 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga petang semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit meningkat ke paras 4.3635 berbanding dolar AS pada awal dagangan semalam namun susut kemudiannya sekitar 4.3748.

Walaupun berlaku pembetulan itu, beliau menyifatkan kadar pertukaran semasa sebagai paparan paras terkukuh ringgit sejak Februari 2023.

Lapor Bernama, beliau menjangkakan ringgit mampu mencecah paras RM4.30 jika momentum berterusan.

“Pada masa ini, paras rintangan pada julat 4.3000. Jika momentum peningkatan semasa ini berterusan, ringgit mampu mencecah paras itu (semula).

“Tumpuan utama adalah Simposium Jackson Hole yang dijangka menyaksikan Powell memberi bayangan mengenai tindakan dasar Fed seterusnya.

“Malah, kemungkinan pengurangan kadar faedah utama AS pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) September ini, juga semakin ketara dengan pasaran mengunjurkan penurunan sehingga 25 mata asas bagi Kadar Dana Persekutuan,” katanya seperti dilapor Bernama.

Pada 6 petan Selasa, ringgit mengukuh pada 4.3780/3850 berbanding dolar AS daripada 4.3805/3850 pada akhir urus niaga Isnin.

Pengukuhan itu ketara ketika dolar AS terus susut menjelang ucaptama oleh Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Jerome Powell di acara tahunan Simposium Jackson Hole, akhir minggu ini.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali yen Jepun yang menyaksikannya mengukuh sedikit pada 2.9917/9967 daripada 2.9946/9979.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3466/3522 (Selasa) daripada 3.3424/3461 (Isnin).