Poster ‘Peringatan Darurat’ tular di Indonesia, rupanya ini maksudnya

Poster ‘Peringatan Darurat’ tular di Indonesia, rupanya ini maksudnya

 

Poster ‘Peringatan Darurat’ berwarna biru dengan lambang Garuda Pancasila menjadi tular dan trending di media sosial di Indonesia.

Menurut CNN Indonesia, poster berkenaan mula beredar dalam kalangan warga maya disana selepas Badan Legislasi Dewan Perwakilan Rakyat (Baleg DPR) Republik Indonesia meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pilkada.

Poster berkenaan difahamkan merupakan sebahagian daripada keratan video yang diterbitkan akaun Youtube EAS Indonesia Concept.

EAS Indonesia Concept merupakan sebuah akaun Youtube yang menghasilkan video dengan konsep The Emergency Alert System (EAS) versi negara berkenaan.

Difahamkan, EAS adalah sebuah sistem peringatan darurat kebangsaan Amerika Syarikat yang direka untuk menyebarkan notis darurat melalui siaran televisyen dan radio.

Menerusi kandungan-kandungan yang dimuat naik, EAS Indonesia Concept menggunakan kaedah EAS untuk menghasilkan video seram fiksyen yang dikenali sebagai analog seram.

Menurut CNN Indonesia lagi, poster berkenaan digunakan oleh orang awam di Indonesia untuk menunjukkan protes terhadap keputusan Baleg DPR meluluskan RUU Pilkada, hari ini.

Mereka berpendapat, keputusan Baleg DPR meluluskan RUU tersebut sebagai bertentangan dengan keputusan Mahkamah Konstitusi (MK) bernombor 60/PUU-XXII/2024 dan 70/PUU-XXII/2024.

RUU itu dikatakan tidak sepenuhnya mengakomodasikan keputusan MK, termasuk hal had umur calon Gabenor dan wakil Gabenor dalam Pasal 7.

Sebaliknya, Baleg DPR mengambil keputusan untuk mengakomodasikan keputusan Mahkamah Agong (MA), yang antaranya had umur Gabenor diputuskan saat calon terpilih dilantik.

Selain itu, Baleg DPR juga sepakat bahawa perubahan syarat untuk ambang had pencalonan Pilkada hanya terpakai untuk parti yang tidak mempunyai kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD).

Manakala parti yang mempunyai kerusi di DPRD perlu memenuhi syarat 20 peratus kerusi DPRD dan 25 peratus suara Pemilihan Umum (Pemilu) sebelumnya.

Ekoran tidak berpuas hati dengan pelbagai keputusan yang terkandung dalam RUU Pilkada itu, warga maya di sana mula memuat naik poster berkenaan sebagai tanda protes.

Malah, ia turut disertai oleh ramai individu terkenal Indonesia seperti ahli muzik, selebiriti dan juga komuniti pelawak yang berkongsi poster berkenaan di akaun media sosial masing-masing.