Polis tahan suspek kes perbuatan baling batu ke atas kenderaan di jambatan bandar Darulaman

Polis tahan suspek kes perbuatan baling batu ke atas kenderaan di jambatan bandar Darulaman

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kubang Pasu dilaporkan telah berjaya menahan suspek yang terlibat dalam kejadian membaling batu dari atas jambatan Bandar Darulaman, KM.31 Lebuhraya Utara Selaatan (U), Kedah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak polis, setelah mengesan satu hantaran video dan ‘whatsapp’ yang tular berkaitan dengan insiden itu, pihak polis terus menubuhkan satu pasukan Taskforce bagi memburu individu berkenaan.

Menurut kenyataan media Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Rodzi Bin Abu Hassan, semasa operasi bagi memburu individu itu dijalankan, pihaknya telah melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan menaiki motosikal dan memberhentikan motosikalnya di atas jejantas lebuhraya dari Jalan Wang Tepus menghala ke Bandar Darulaman, Jitra.

Penunggang motosikal tersebut kemudiannya telah turun dari motosikalnya dan mengambil sesuatu dari dalam raga motosikalnya.

Ekoran daripada itu, anggota polis terus menghampiri individu berkenaan. Hasil daripada pemeriksaan, anggota polis tersebut telah menemui dua ketulan batu terdapat di dalam raga motosikalnya.

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati bahawa suspek mengakui bahawa dia terlibat dalam kejadian membaling batu dari atas jambatan lebuhraya seperti insiden yang telah tular di media sosial pada sebelum ini.

Kenyataan itu juga ada menyebut bahawa suspek tersebut mempunyai 7 rekod lampau yang berkaitan dengan kes jenayah serta dadah.

Hasil pemeriksaan air kencing yang dijalankan pihak polis juga mendapati bahawa suspek positif dadah jenis “Methamphetamine”.

Suspek kini berjaya ditahan dan akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman.

Kes tersebut akan disiasat di bawah seksyen 427 kanun keseksaan kerana melakukan khianat.

Sumber: Polis Daerah Kubang Pasu