Polis buru pemandu BMW punca kemalangan
Polis sedang mengesan pemandu kereta jenis BMW 318i berwarna hitam selepas memandu secara berbahaya dan menyebabkan kemalangan di Jalan Batu Arang-Rawang baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya telah mengesan satu rakaman video yang tular berdurasi 48 saat di media sosial hari ini.
“Video terbabit memaparkan sebuah kereta jenis BMW 318i berwarna hitam yang dipandu secara berbahaya dan memotong di garisan berkembar.
“Pemandu kereta tersebut juga memandu melawan arus dan menyebabkan berlakunya kemalangan melibatkan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah, usaha mengesan pemandu kenderaan dan pemilik rakaman video tersebut sedang giat dijalankan.
“Setakat ini, polis telah menerima satu laporan polis dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
“Saksi kejadian dan pengguna jalan raya yang terlibat dalam kemalangan ini diminta tampil untuk membantu siasatan,” jelasnya.