Salah guna kemudahan pinjaman peribadi, penjawat awam tanggung hutang RM200,000
Salah satu kelebihan yang dinikmati oleh penjawat awam adalah mudah untuk mendapatkan kelulusan memohon pinjaman peribadi daripada pihak bank.
Walau bagaimanapun, kemudahan ini sering kali disalah guna oleh kakitangan awam hingga menyebabkan mereka terjerat dengan hutang mencecah ratusan ribu ringgit.
Masalah inilah yang sedang dihadapi seorang kakitangan awam akibat terlalu teruja memegang wang tunai dalam kuantiti banyak selepas bekerja dalam sektor kerajaan.
Menerusi satu hantaran di platform Facebook, individu berkenaan mengakui mulanya hanya membuat satu pinjaman peribadi sebanyak RM50,000 daripada sebuah bank.
Namun apabila wang berkenaan sudah habis digunakan, individu itu malah membuat pinjaman baharu daripada bank lain sehinggalah hutangnya mencecah RM200,000.
“Pinjaman peribadi. Dahulu kalau dengar, rasa teruja nak pinjam. Nak rasa pegang duit banyak sebab mudah buat dan ada kelayakan iaitu kakitangan kerajaan. Tetapi di situlah bermula titik penyesalan.
“Sebab salah guna kemudahan pinjaman peribadi. Bermula dari RM50,000. Apabila sudah habis, saya bawa ‘overlap’ ke bank lain. Tambah sedikit demi sedikit. Kadang-kadang RM10,000 atau RM20,000 selagi ada kelayakan.
“Berpindah-pindah bank sampailah jumlah pinjaman terkumpul akhirnya berjumlah RM200,000. Tetapi duit habis macam itu sahaja sebab tiada perancangan nak guna untuk apa,” kongsi individu itu tanpa mendedahkan identitinya.
Penjawat awam itu akhirnya terpaksa memohon penstrukturan semula pembayaran dengan pihak bank kerana tidak mampu menanggung komitmen bulanan yang tinggi.
Mahu kisahnya dijadikan pengajaran terutamanya buat penjawat awam lain, individu terbabit tampil membuat hantaran di laman Facebook, Muflis Bankrupt di Malaysia.
Jelasnya, pinjaman peribadi tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya sekiranya tiada keperluan mendesak kerana boleh membebankan jika tidak pandai menguruskan kewangan.
“Sekarang sebab komitmen bulanan tinggi nak bayar, mohon penstrukturan semula pembayaran. Bayarlah sampai habis. Pengajarannya selagi tiada keperluan yang sangat mendesak, jangan sesekali buat pinjaman peribadi. Boleh membebankan diri,” kesalnya.
Diharapkan dengan perkongsian itu, kakitangan awam lebih berhati-hati dalam membuat tindakan terutamanya membabitkan kewangan.