Pertunangan Neelofa, PU Rizz ‘sudah berakhir’?
Spekulasi mengenai hubungan pasangan terkenal, Neelofa dan PU Rizz kini menjadi perbualan di media sosial.
Netizen mula berkongsi pelbagai pandangan berhubung dakwaan kononnya ikatan pertunangan antara kedua-dua mereka sedang melalui ujian.
Pelbagai versi mengenai status hubungan selebriti dan usahawan termasyhur itu dengan PU Rizz juga sampai ke pendengaran Astro AWANI.
Menurut beberapa sumber yang dihubungi, dakwaan yang mengatakan pertunangan Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 31, dengan PU Rizz atau Muhammad Haris Mohd Ismail, 25, sudah berakhir amat sukar untuk disahkan buat masa sekarang.
Ini kerana, kata sumber itu, belum ada sebarang kenyataan yang keluar dari mulut keluarga Neelofa berhubung isu tersebut.
Namun begitu, sumber memaklumkan, berdasarkan perbualan antara ahli keluarga Neelofa memberi bayangan bahawa hubungan Neelofa dan PU Rizz ‘sudah berakhir’.
“Bayangan yang diberikan sepertinya ‘tiada jodoh’ antara Neelofa dan PU Rizz,” kata sumber itu kepada Astro AWANI.
Seorang lagi sumber yang dekat dengan Neelofa pula berkata, kemelut yang dilalui Neelofa dan PU Rizz ketika ini agak rumit untuk dijelaskan kepada peminat-peminat mereka.
“Ini adalah dugaan mereka dalam melalui alam pertunangan. Doakan yang baik-baik buat mereka,” kata sumber itu lagi.
Berdasarkan tinjauan Astro AWANI di akaun Instagram ahli keluarga Neelofa khususnya ibu artis berkenaan, Datin Noor Kartini Noor Mohamed, foto-foto ketika majlis merisik anak kesayangannya pada 1 November lalu juga dipadam.
Bahkan, Noor Kartini juga sudah tidak lagi mengikuti akaun Instagram PU Rizz.
Apa yang mencetus perdebatan dalam kalangan netizen ialah, perkongsian Instagram Stories (IG Story) adik-beradik Neelofa iaitu Noor Nabila, Athisha Khan dan Ameera Khan juga bagaikan memberi bayangan bahawa ada ‘sesuatu yang tidak kena’.
Bahkan, foto-foto semasa majlis merisik juga sudah tidak lagi kelihatan di laman Instagram mereka.
Astro AWANI sedang berusaha mendapatkan kenyataan daripada pengurusan Neelofa mengenai dakwaan tersebut, namun, belum mendapat sebarang maklum balas.
PU Rizz juga tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan kenyataan daripadanya.
Pada 1 November lalu, Astro AWANI melaporkan bekas pengacara program MeleTOP itu menerima kunjungan keluarga PU Rizz bagi menyempurnakan acara merisik.
Dalam majlis itu, Neelofa menerima sebentuk cincin sebagai tanda dia sudah disunting.
Neelofa dan PU Rizz juga difahamkan bakal disatukan sebagai suami isteri pada penghujung Mac 2021.