Pernah viral gambar ”selfie“ bergayanya, gorila dilapor mati dalam dakapan Renjer yang selamatkannya ketika kecil
Seekor gorila yang sebelum ini pernah menjadi tular di seluruh dunia kerana berswafoto dilaporkan telah mati dalam pelukan ‘teman baiknya’ yang telah menyelamatkannya ketika bayi.
Menurut Daily Mail, gorila yang dikenali sebagai Ndakasi itu dikatakan menghembuskan nafas terakhir pada usia 14 tahun sambil dipegang erat oleh penjaganya, Andre Bauma di Taman Nasional Virunga di Congo timur.
Ndakasi telah diselamatkan oleh renjer Virunga ketika ia berusia dua bulan dan ditemui sedang berpaut pada badan ibunya yang sudah tidak bernyawa setelah ditembak oleh militia bersenjata beberapa jam sebelumnya.
Difahamkan, ia kemudiannya dipindahkan ke Pusat Senkwekwe berseama seekor gorila, Ndeze. Pasangan itu menjadi terkenal di internet setelah mereka berswafoto dengan renjer di situ pada tahun 2019.
Bagaimanapun, setelah lebih dari satu dekad dirawat di Pusat Senkwekwe, gorila itu mati disebabkan oleh penyakit yang berlarutan sejak sekian lama sehingga menyebabkan keadaannya merosot.
Gambar terakhir yang diambil oleh pihak Virunga begitu menyayat hati, Ndakasi dilihat menyandarkan kepalanya di dada dan memegang erat Bauma.
“Adalah suatu keistimewaan untuk merawat dan memberikan sokongan kepada makhluk yang penuh kasih sayang itu terutama apabila mengetahui trauma yang dialami Ndakasi pada usia yang sangat muda.
“Sifat dan kecerdasan Ndakasi membantu saya untuk memahami hubungan antara manusia dan gorila serta mengapa kita perlu sedaya upaya melindungi mereka,” kata Bauma.
Tambahnya, dia bangga memanggil Ndakasi sebagai kawannya dan sangat menyayangi gorila itu seperti seorang kanak-kanak.
“Dia akan sentiasa dirindui oleh kami semua di Virunga,” katanya lagi.
Sumber: Daily Mail