“Perak FC, bila nak bayar gaji?” – Selepas Kedah, giliran Perak pula alami isu tunggakan gaji

“Perak FC, bila nak bayar gaji?” – Selepas Kedah, giliran Perak pula alami isu tunggakan gaji

 

Nampaknya, isu tunggakan gaji dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) terus merebak, dengan terbaharu giliran Perak pula terpalit akan isu yang sama dihadapi beberapa kelab lain sebelum itu.

Jika diimbas kembali, beberapa tahun lalu pasukan itu sudah pun pernah menghadapi masalah gaji yang dianggap sangat teruk suatu ketika di pentas Liga M.

Namun, isu tersebut dianggap semakin selesai selepas tampuk pengurusan tertinggi sudah pun bertukar tangan dan beberapa perubahan positif mula dirasai peminat.

Namun, siapa sangka isu tersebut kini kembali berbangkit dengan bekas Penganalisa Prestasi Perak iaitu Muhammad Azim membuat satu luahan di media sosial Facebook.

“Tunggakan gaji yang belum diselesaikan sepenuhnya. Bincangkan,” jelas beliau di Facebook dan mula menimbulkan beberapa persoalan mengenai status beliau bersama pasukan itu.

Selang sejam kemudian, Azim sekali lagi membangkitkan isu berkenaan dengan kali ini beliau turut menyebut nama Perak untuk menyelesaikan tunggakan gaji beliau.

“Hai Perak Football Club. Bila nak bayar baki tunggakan gaji saya ya??? Income tax dan kwsp? Saya ada anak dan isteri untuk di tanggung, ada komitmen yang perlu di bayar.

“Nak beli susu dan pampers anak ni,” kata beliau dan mendapat pelbagai reaksi netizen di media sosial mengenai nasib dialami oleh Azim.

Beliau yang sebelum ini pernah bertugas untuk Terengganu menjadikan Perak sebagai destinasi baharu selaku penganalisa prestasi pada tahun 2022 dan kini nasib Azim boleh dianggap sangat menyedihkan.

Menerusi perkongsian dibuat oleh Vocket FC, Perak sebenarnya telah pun menyatakan kepada Azim sebelum itu untuk menyelesaikan isu mengenai KWSP serta cukai pendapatan.

“Sehingga sekarang saya masih belum boleh dapatkan lebihan dari E-filing saya di LHDN dan juga KWSP di akaun fleksibel.

“Daripada makluman saya dapat sebelum saya keluar. Mereka [janji] akan bayar secara ansuran 2 benda tu,” kata beliau menerusi perkongsian Vocket FC.

Kami di Semuanya BOLA berharap supaya kemelut yang melanda antara Azim bersama pengurusan kelab tersebut mampu diselesaikan pada masa hadapan.

Selain Perak, pasukan seperti Kedah Darul Aman (Kedah) juga antara yang mengalami isu tunggakan gaji sehingga ada pemain bertindak untuk boikot daripada sesi latihan.

Kuala Lumpur City (KL City), dan Sabah terdahulu dilaporkan turut tidak terlepas daripada isu tunggakan gaji menerusi perkongsian demi perkongsian dibuat menerusi media sosial.