Penyebar video fitnah polis bertugas dicari
Polis daerah ini mencari pemilik akaun laman sosial dan juga individu yang terbabit dalam penularan rakaman video fitnah membabitkan anggota polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, anggotanya mengesan rakaman video yang tular itu dalam aplikasi laman sosial ketika menjalankan tugas, Khamis lalu.
“Paparan bertulis ‘dia pikir (fikir) kita NGX (tidak) ada dokumen ke buang masa je… kalau grap (Grab) je dia terus stop (henti) kan… kereta yang lain lewat (lalu) je… hati-hati teman kalau lalu sekitar Damansara.
“Satu laporan polis dibuat bertujuan bagi mengelak sebarang persepsi negatif dan fitnah orang ramai terhadap polis yang menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota terbabit yang berkhidmat di cawangan kereta peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya tidak menyedari perbuatannya dirakam.
Katanya, kejadian berlaku ketika anggota itu menjalankan tugas memeriksa kereta e-hailing, Proton Saga, di Jalan Mayang Mas, Kelana Jaya sebelum ia dirakam penumpang kenderaan itu, iaitu seorang wanita warga asing.
“Bagaimanapun, selesai membuat pemeriksaan, kereta berkenaan dilepaskan kerana tidak mempunyai sebarang kesalahan sama ada lalu lintas, jenayah atau dadah.
“Bertindak daripada laporan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, dakwaan tulisan berbaur negatif itu boleh menjejaskan imej pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).