Penyanyi & pelakon Aman Shah meninggal dunia
Hari ini, negara dikejutkan dengan khabar menyedihkan di mana seorang lagi penggiat industri seni hiburan tempatan dilaporkan ‘pergi’ buat selama-lamanya ke negeri abadi.
Pelakon dan penyanyi terkenal era 80-an, Aman Shah meninggal dunia akibat serangan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Berita duka ini disahkan sendiri oleh anak sulung Allahyarham, Hadzly sebentar tadi. Bahkan, terdapat pengguna dikenali Huzz Aini turut berkongsi khabar tersebut menerusi hantarannya di laman Facebook.
“Al-fatihah. Salam takziah. Dapat khabar mengejutkan daripada pelakon Anne Abdullah. Penyanyi dan pelakon Aman Shah sudah meninggal dunia setelah kritikan di Institut Jantung Negara pagi tadi,”tulisnya.
Menurut Hadzly, bapanya itu dimasukkan ke IJN sejak seminggu yang lalu dan buat masa ini jenazah Allahyarham Aman Shah masih berada di pusat perubatan berkenaan. Dalam masa sama, dia turut memaklumkan jenazah bapanya itu akan dikebumikan pada hari ini.
Sekadar info, Aman Shah atau nama sebenarnya Aman Shah bin Abu Kassim,68, terkenal dengan lagu berjudul Kepulangan Yang Dinanti yang sering dimainkan ketika tibanya musim perayaan Aidilfitri serta lagu Adikku Pandai Menari.
Malah, pelakon kelahiran Johor Bahru ini juga pernah membintangi beberapa buah filem seperti Darah Satria dan Aku Buka Gila.
Sumber: Astro Awani, Facebook Huzz Aini