Pengasas snek Mamee meninggal dunia pada usia 96 tahun
Pengasas jenama snek makanan ringan terkenal tanah air, Mamee, iaitu Pang Chin Hin dilapor telah meninggal dunia pada usia 96 tahun, lapor Mothership SG.
Mendiang yang juga merupakan pengerusi eksekutif kumpulan Mamee-Double Decker itu dilapor meninggal dunia di kediamannya di Melaka pada pukul 6.03 pagi, Sabtu lalu.
Menurut laporan Shin Chew Daily menerusi Mothership SG, mendiang meninggalkan tiga anak lelaki, tiga anak perempuan, ramai cucu serta cicit-cicitnya.
Difahamkan, lima generasi itu tinggal di dalam rumah yang sama sehingga hari kematiannya.
Anak lelakinya, Pang Tee Chew menggantikannya menjadi ketua pegawai eksekutif dan pengarah syarikat Mamee-Double Decker, manakala Pierre Pang yang merupakan cucunya menjadi ketua pegawai eksekutif.
Permulaan dan warisan yang sederhana
Imbas kembali, ’empayar’ Mamee bermula pada 1971 dahulu apabila Pang dan rakan kongsinya memulakan perniagaan mereka dengan mula mengusahakan produk mi segera di sebuah kilang kecil di Melaka.
Difahamkan kedua-duanya mengeluarkan produk pertama mereka pada tahun 1972, iaitu mi segera Lucky dan bihun.
Kemudian, anak Pang, Tee Chew mendapat idea untuk menjual mi segera berperisa, menjadikan snek mi Mamee terkenal pada tahun 1974 dan akhirnya menjadi mi segera terlaris di Malaysia pada era 1980-an.
Keluarga Pang berbangga dengan usaha mereka menghasilkan produk makanan sihat dan menegaskan Mamee hanya menggunakan stok ayam tulen sebagai perasa tanpa menambah bahan berunsur lilin.
Sepanjang 51 tahun beroperasi, Mamee telah menghasilkan lebih 50 variasi makanan ringan yang terdiri daripada pelbagai mi segera, mi snek Monster, Mister Potato dan Double Decker.
Pada 2015, Mamee mula membuka kedai konsep di Melaka yang diberi nama Mamee Jonker House, di mana peminat boleh merasai bagaimana snek mi yang popular itu dibuat serta dapat membeli produk dan makan di kafe.
Jika mengimbau kembali zaman dahulu, snek mi Mamee Monster adalah antara makanan ringan yang cukup popular dalam kalangan isi rumah dan kanak-kanak di Malaysia.
Sumber: Mothership SG