Pengasas jamu Mak Dara, Halimah Shiub meninggal dunia dalam tidur

Pengasas jamu Mak Dara, Halimah Shiub meninggal dunia dalam tidur
Pengasas produk jenama Jamu Mak Dara, Halimah Shuib dilaporkan meninggal dunia ketika dalam tidur pada usia 78 tahun, kira-kira jam 8.00 malam Ahad.
Berita duka itu disahkan oleh anaknya yang juga Pengarah Urusan Jamu Mak Dara (JMD) Sdn, Bhd, iaitu SM Gadaffi Syed Ali.
Jelas Gadaffi atau mesra disapa Abib, arwah terdahulu seakan sudah memberi bayangan untuk pergi meninggalkan dunia, namun mahu melihat dia terlebih dahulu hadir mengambil ijazahnya di majlis konvokesyen yang berlangsung pada siang Ahad.
“Dia dah sampai masa sebenarnya, sebelum itu dia dah kata nak ‘balik’. Cumanya dia ada bagi tahu satu hasrat nak tengok saya konvokesyen dulu.
“Pada pagi Ahad saya graduate dan terus buat panggilan video dengan arwah, saya ucap terima kasih kerana lahirkan saya dan akhirnya dapat juga graduate.
“Dia balas, Alhamdulillah bagus anak ibu berjaya. Kemudian lepas waktu Zohor terus dia dah lembik.
“Lebih kurang 8 malam lebih sikit macam tu kejut untuk ajak makan malam dia dah tak sedar, bila periksa jantung dah berhenti,” katanya ketika dihubungi Gempak.
Sedih dengan berita pemergian ibu tercinta, Abib bagaimanapun bersyukur kerana sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai anak sehabis baik.
“Saya bersyukur dapat jalankan tugas sebagai seorang anak. Saya sempat berterima kasih dan minta maaf pada dia, minta halal segalanya termasuklah susu badan ibu.
“Sekarang ini keadaan saya sudah pasti sedih sebab itu mak saya. Saya antara yang paling rapat denga arwah dan banyak perkara yang kami lalui dan buat bersama.
“Dia pun banyak mengajar saya tentang hidup. Saya sempat bawa dia pergi Umrah dan Haji itu yang buat saya sangat bangga dan bersyukur sebagai seorang anak,” tambahnya.
Difahamkan, jenazah Allahyarhamah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rengit, Batu Pahat Johor sekitar jam 9 pagi tadi.
Astro Gempak.