Pengantin angkut jambangan duit hantaran gergasi bernilai RM15K di hari pernikahan
Kota Bharu: “Saya tiada niat untuk menunjuk kekayaan, sebaliknya memberi kejutan itu bagi menggembirakan isteri,” kata Mohammad Fitri Khairul Nizam Hisham atau mesra disapa Fitri Khai.
Kisah Fitri Khai, 23, mendapat perhatian selepas memuat naik videonya memberi gubahan wang hantaran bernilai RM15,000 kepada isterinya, Nur Kiasatina Hannani Mohd Ezanee, 22, pada majlis pernikahan mereka di Kampung Kota, di sini, Rabu lalu.
Perkongsian Fitri Khai itu mengundang pelbagai reaksi dengan rata-rata netizen memuji kesungguhannya menggembirakan pasangan, namun ada yang meluahkan rasa kurang senang.
Berkongsi kisah sebenar, Fifri Khai berkata, dia menempah gubahan hantaran itu daripada seorang rakan dikenali Fizi dan ia mengambil masa sehari saja untuk disiapkan.
“Perancangan untuk beri wang hantaran dalam bentuk gubahan itu adalah idea saya sendiri, cuma saya minta bantuan rakan untuk siapkannya.
“Ketika majlis akad nikah , saya hanya bawa bersama replika cek saja, namun imam tanya mana wang mas hantaran dan sebab itu saya bawa keluar dari kereta untuk tunjukkan sebagai bukti,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Fitri Khai berkata, ada 300 keping wang RM50 pada gubahan itu dan dia menyerahkan kepada rakan untuk menggubah mengikut kreativiti.
Menurutnya, dia berpuas hati dengan hasilnya dan gembira dapat beri kelainan buat isteri pada hari mereka diijabkabulkan.
“Selain gembirakan isteri, saya buat begitu (beri gubahan hantaran) bagi meyakinkan keluarga terutama mentua yang saya benar-benar bersungguh dalam perkahwinan dan bersedia menjaga anak mereka.
“Ini kerana isteri anak manja dalam keluarganya. Saya ada baca komen dan lihat ramai mempersoalkan ayat wang hantaran saya gunakan pada video dimuat naik.
“Kekeliruan itu mungkin kerana ada tidak tahu kebiasaan masyarakat di sini (Kelantan) menyebut mas kahwin serta hantaran sebagai wang hantaran. Apa pun terima kasih kepada semua yang mendoakan,” katanya.