Pendapatan negeri Kedah merosot zaman PN
Kerajaan Kedah mengalami penurunan kutipan hasil negeri yang dianggarkan sebanyak RM100 juta tahun ini akibat penularan pandemik Covid-19 di sebalik sasaran awal kutipan hasil berjumlah RM701.94 juta.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata perkara itu akan diperincikan semasa pembentangan Belanjawan Kedah 2021 pada hari pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan 15 hingga 19 Nov ini.
“Saya yakin negeri lain, malah seluruh dunia menghadapi situasi sama (pendapatan terjejas)…untuk 2021 nanti dijangkakan Covid-19 masih memberi kesan kepada sektor ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Alor Setar, hari ini.
Beliau berkata Belanjawan Kedah 2021 bertemakan ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’ akan menumpukan usaha mengaktifkan semula sektor ekonomi, di samping mengoptimumkan kutipan hasil.
“Saya menyeru kepada semua pihak termasuk orang perseorangan dan syarikat-syarikat yang mempunyai bayaran yang perlu dijelaskan kepada kerajaan negeri, agar segera berbuat demikan supaya kita dapat melaksanakan lebih banyak program untuk pembangunan ekonomi.
“Fokus kita juga adalah menangani kesan Covid-19 dan memakmurkan rakyat Kedah, walaupun pendapatan negeri terhad, kita nak maksimumkan aktiviti kebajikan dan saya nak ajak semua pihak menjalankan tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri berharap pembangunan sektor ekonomi pada tahun hadapan akan bertambah baik, susulan limpahan daripada projek besar yang dijangka bermula Disember ini dan Januari 2021.
“Projek besar seperti pembinaan lima Loji Rawatan Air (LRA) yang sudah memasuki proses tender akan mula dilaksanakan pada Disember ini dan Januari depan selain ia akan mengaktifkan banyak sektor lain dari segi pekerjaan dan bahan binaan.
“Saya yakin ia akan mewujudkan kitaran ekonomi yang lebih baik untuk pelbagai sektor terutama berkaitan pembinaan di negeri ini,” katanya.
Semasa sesi pembentangan Belanjawan Kedah 2020 pada Oktober tahun lepas, kerajaan Kedah menjangkakan kutipan hasil mencecah RM701.94 juta, lebih rendah berbanding dengan anggaran kutipan hasil 2019 iaitu sebanyak RM710 juta.
Sumber: Malaysiakini