Pendaki gunung sesat 24 jam abaikan panggilan daripada pasukan penyelamat sebab‘nombor tak dikenali’

Pendaki gunung sesat 24 jam abaikan panggilan daripada pasukan penyelamat sebab‘nombor tak dikenali’

Seorang lelaki yang sesat selama 24 jam ketika mendaki Gunung Elbert di Colorado, US dilapor mengabaikan beberapa panggilan telefon daripada pasukan penyelamat kerana mendakwa tidak mengetahui milik siapakah nombor tersebut.

Agensi penyelamat Lake County Search and Rescue berkata, lelaki itu dilapor hilang sekitar 8 malam pada 18 Oktober baru-baru ini selepas gagal pulang semula ke lokasi asal dia bermula.

Maklum agensi itu, pelbagai usaha menyelamat dilakukan termasuklah menghubungi nombor telefonnya beberapa kali, menghantar mesej teks dan peti suara namun segalanya tidak dijawab dan diabaikan.

Gara-gara itu, lima unit penyelamat pasukan pertama dikerahkan segera pada 10 malam berikutnya dan memberi tumpuan kepada lokasi-lokasi berisiko tinggi di gunung berketinggian 4,401 meter dari aras laut itu.

Bagaimanapun, usaha pasukan itu berakhir dengan sia-sia dan terpaksa turun semula pada 3 pagi kerana gagal menemui lelaki tersebut, walaupun beberapa panggilan kecemasan sudah dibuat.

Gunung Elbert | Kredit: Alamy Stock Photo/The Guardian

Dalam pada itu, pasukan penyelamat kedua pula dikerahkan pada 7 pagi keesokannya, kali ini memberi tumpuan kepada laluan trek yang kerap mempunyai sejarah kes pendaki-pendaki hilang sebelum ini.

Namun kira-kira pukul 9.30 pagi, lelaki ‘malang’ berkenaan akhirnya berjaya ditemui pasukan penyelamat tersebut dan dia turut memberitahu punca sebenar kenapa boleh tersesat dan hilang arah.

Kata lelaki itu, dia sesat semasa dalam perjalanan pulang ke lokasi asal pada waktu malam, selain terpaksa melalui denai laluan yang berbeza hingga menyebabkannya tersesat sebelum akhirnya berjaya tiba di keretanya pada pagi keesokannya.

Walaupun pasukan penyelamat berusaha sehabis baik mencarinya, bagaimanapun lapor agensi itu, lelaki terbabit sebaliknya tidak tahu-menahu langsung akan kehadiran agensi tersebut untuk menyelamatkannya.

“Satu masalah besar di sini adalah apabila dia mengabaikan panggilan dari kami banyak kali sebab katanya dia tidak tahu itu nombor siapa.

“Kalau kamu ‘lari’ dari itinerari asal perjalanan (sesat), dan kamu mula menerima panggilan telefon berulang kali dari nombor tak dikenali, tolonglah jawab panggilan tu.

“Ia mungkin panggilan daripada pasukan penyelamat untuk memastikan kamu selamat!” tegas agensi itu.

Sumber: The Guardian