Penangan senjata kimia ‘agen oren’: Genetik rosak hingga 12 generasi, mimpi ngeri buat rakyat Vietnam
Dalam peperangan, selain pedang, senapang, misil dan torpedo, senjata biologi dan kimia juga boleh menjadi pembunuh yang menakutkan. Kesannya bukan setakat menyebabkan mangsa berdarah, malah genetiknya juga akan rosak.
Begitulah mimpi ngeri yang dialami sebahagian besar rakyat Vietnam sehingga hari ini apabila bumi ‘pinoy’ itu pernah dihujani dengan racun rumpai berkimia tinggi yang dipanggil sebagai Agen Oren.
Mengimbas kembali, Vietnam ketika dulu terbahagi kepada dua wilayah, iaitu Vietnam Utara di bawah Republik Demokratik Vietnam dan Vietnam Selatan di bawah Republik Vietnam.
Bagi Vietnam Utara, wilayah ini merupakan proksi Barisan Pembebasan Vietnam Selatan (Viet Cong), Kesatuan Soviet (Russia) dan China. Manakala Vietnam Selatan, ia adalah proksi Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan, Australia dan sekutu-sekutu AS yang lain.
Difahamkan, semasa era Perang Dingin antara AS dan Russia berlaku ketika itu, kedua-dua negara sebolehnya tidak mahu bertempur dengan senjata ‘super-weapon’ masing-masing iaitu nuklear bagi mengelakkan kemusnahan dahsyat.
Justeru, jalan yang dipilih adalah berperang di ‘medan’ masing-masing iaitu dua wilayah di utara dan selatan Vietnam. Hasilnya, tercetuslah Perang Vietnam yang berlarutan selama 20 tahun dari 1955 hingga 1975.
Lancar serangan senjata kimia
Kawasan hutan tebal serta perkampungan yang lengkap dengan pertanian menjadikan muka Bumi Vietnam mempunyai pelbagai sumber makanan untuk tentera dan rakyat di kedua-dua wilayah.
Sebagai usaha menyekat kemaraan tentera Viet Cong serta rakyat Vietnam Utara (proksi Soviet), AS tekad melancarkan operasi serangan senjata kimia secara besar-besaran yang dipanggil sebagai Operation Ranch Hand.
Dalam operasi ini, tentera AS melepaskan semburan pelbagai jenis racun rumpai dari udara ke serata darat Vietnam, Cambodia dan Laos sebanyak lebih 20 juta gelen sepanjang 1961 hingga 1971.
Racun rumpai ini telah disembur dari udara ke serata kampung, hutan, jalan, sungai, ladang, sawah padi, kem tentera serta pelabuhan hingga menyebabkan lebih 4.5 juta ekar kawasan terjejas teruk.
Tidak cukup dengan itu, segala sumber makanan dan air dari ladang dan sungai turut terjejas. Akibatnya, tentera dan rakyat sudah terputus bekalan utama hidup sekelip mata untuk tempoh bertahun-tahun.
Agen Oren: racun rumpai pembunuh
Racun rumpai ini dipanggil sebagai Agen Oren. Di dalamnya terdapat sejenis bahan aktif iaitu dioksin. Penggunaan dioksin menyebabkan tumbuhan akan layu dan daunnya gugur. Dikatakan ia mempunyai sejumlah besar 2,3,7,8-tetrachlorodibenzo-p-dioksin atau TCDD.
Dioksin dihasilkan daripada pembakaran sampah; pembakaran gas, minyak dan arang batu; pembakaran rokok (asap) serta proses pembuatan bahan di kilang. Namun kadar TCDD dalam Agen Oren adalah yang paling berbahaya dioksinnya.
Bukan sahaja Agen Oren, malah banyak lagi variasi racun yang serupa fungsinya iaitu Agen Pink, Agen Hijau, Agen Ungu, Agen Putih dan Agen Biru. Semua jenis racun rumpai ini memiliki kandungan bahan kimia dan kekuatan yang berbeza.
Kandungan kimianya yang sangat berbahaya menjadikan Agen Oren sebagai salah satu senjata paling ‘kuat’ yang AS ada dalam Perang Vietnam. Tapi sayangnya, Agen Oren tidak mengenal siapa mangsanya.
Kesan Agen Oren
Tujuan asal AS adalah mahu melumpuhkan kemaraan pihak Viet Cong. Namun semburan Agen Oren melalui udara ternyata telah memberi kesan buruk kepada semua rakyat Vietnam, tidak kira di wilayah utara mahupun selatan.
Sebatian kimia dioksin dalam Agen Oren didapati kekal aktif dan mampu ‘bertahan’ berpuluh tahun lamanya. Akibatnya, alam sekitar, tanah, tasik, sungai, kitaran serta sumber makanan manusia telah tercemar teruk.
Tidak kurang juga, dioksin turut merosakkan tisu yang ada pada badan ikan, burung dan haiwan-haiwan lain. Manakala makanan asas manusia seperti daging, ayam, susu dan telur juga turut rosak.
Kajian makmal mengesahkan, tindak balas dioksin sangat cepat walaupun hanya beberapa minit. Malah kimia aktif ini juga turut berisiko menyebabkan sel kanser aktif dalam badan, selain mampu ‘mengubah’ kulit manusia menjadi gelap.
Malah ia juga akan menyebabkan manusia menghidapi masalah hati; penyakit kulit yang teruk seperti jerawat; diabetes; melumpuhkan otot dan sistem imunisasi; gangguan saraf; gangguan hormon dan penyakit jantung.
Lebih menakutkan, janin yang baru ‘hidup’ dalam rahim sangat sensitif terhadap dioksin. Kesannya, ia akan mengakibatkan keguguran, mencacatkan perkembangan otak janin serta merosakkan genetik dan sistem saraf.
Mimpi ngeri rakyat Vietnam hingga hari ini
Walaupun Perang Vietnam telah tamat pada lebih 50 tahun yang lalu, namun kesan Agen Oren yang pernah membunuh rakyat Vietnam dahulu masih wujud hingga ke hari ini.
Difahamkan, ramai rakyat Vietnam ketika itu yang terdedah dengan semburan Agen Oren mengalami pelbagai kerosakan pada fizikal, mental dan sistem dalaman tubuh gara-gara ‘penangan’ dioksin yang berbahaya.
Hasilnya, kebanyakan rakyat Vietnam mengalami kerosakan teruk pada sel dan genetik dalam tubuh. Ramai juga mengalami penyakit-penyakit kronik (seperti yang disebut di atas).
Malah janin dan bayi yang dikandungkan dalam kandungan juga turut terkesan sama. Hasilnya, bayi-bayi mangsa Agen Oren yang lahir akan mempunyai wajah, anggota serta bentuk badan yang cacat dan hodoh.
Namun apa yang lebih malang, Agen Oren tidak hanya menyerang ketika Perang Vietnam saja. Kesan kimianya kekal dalam genetik dari generasi ke generasi. Pakar juga menyatakan, kemungkinan kerosakan genetik ini akan berlarutan sehingga generasi ke-12.
Inilah mimpi ngeri yang paling diingati dalam lipatan sejarah rakyat Vietnam. Mereka bukan saja bertempur dengan tentera, malah terpaksa bertarung nyawa mendepani musuh halus yang tidak nampak iaitu racun rumpai Agen Oren.
Berikut di bawah adalah gambar mangsa-mangsa Agen Oren yang mengalami kerosakan genetik, dipercayai dari zaman datuk neneknya sehinggalah ke generasi hari ini.
Sumber: History / Cold War / SCMP / The Atlantic