Jalan tak dibaiki, pemuda lukis seni abstrak pada permukaan jalan rosak teruk

Jalan tak dibaiki, pemuda lukis seni abstrak pada permukaan jalan rosak teruk

 

Kemudahan jalan raya yang membolehkan pengangkutan darat beroperasi setiap hari merupakan satu keperluan asasi bagi setiap wilayah yang berpenghuni.

Tidak kira di kawasan kota-kota besar atau desa terpencil, infrastruktur ini tetap perlu disediakan dan dipastikan berada dalam keadaan baik sepanjang masa.

Dengan adanya jalan raya, pergerakan manusia ke mana-mana destinasi menjadi lebih mudah dan teratur. Malah, kawasan-kawasan di mana aktiviti ekonomi berjalan dapat dihubungkan dengan orang ramai.

Ia sekaligus akan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan untuk mencari sumber pendapatan.

Biasanya, penyelenggaraan jalan raya seperti menampal lubang-lubang yang ada pada permukaan menjadi tanggungjawab kepada pemerintah.

Namun begitu, ada kalanya kerosakan yang muncul mengambil masa yang terlalu lama untuk dibaiki. Apabila berlarutan, ia sudah tentu akan menjejaskan kehidupan dan aktiviti seharian penduduk setempat.

Baru-baru ini, tindakan seorang pemuda menjadikan jalan raya yang rosak teruk sebagai bahan seni abstrak telah tular di media sosial.

Menurut portal iNews Semarang, kejadian berkenaan berlaku di sebuah kampung di Jepara, Jawa Tengah, Indonesia.

Difahamkan, tindakan pemuda berkenaan adalah merupakan satu mesej kepada pihak yang bertanggungjawab supaya segera memperbaiki kerosakan pada jalan tersebut.

Menerusi video yang dimuat naik oleh @surakartakita di Instagram, dapat dilihat jalan berkenaan dicat dengan garisan putih tidak lurus selain bentuk bulat mengikut keadaan permukaan jalan.

Sementara itu, kerosakan-kerosakan besar jelas kelihatan pada permukaan jalan berkenaan. Antara kerosakan yang dapat dilihat adalah seperti jalan berlubang, jalan pecah di bahagian sisi serta permukaan yang tidak rata.